Saturday, December 15, 2012

Lawatan Sekitar Kota Mekah

Waktu-waktu selepas haji inilah kami banyakkan masa terluang membeli barang-barang untuk dibawa pulang sebagai buah tangan untuk sahabat handai.  Kami berjalan untuk membeli gelang tangan untuk anak buahku yang perempuan menuju ke sebelah utara Jalan Ummar Al Khattab, iaitu Timur Laut Masjidil Haram.
Aku kurang arif pula nama jalan itu, kalau di KL sinonim keadaannya dengan Jalan TAR. Rupa-rupanya ada sebuah masjid dijalan itu, masjid Jin namanya. Mengikut sejarah sekumpulan jin berbaiah dengan Baginda Rasulullah di situ. Peristiwa itu berlaku selepas Baginda Rasulullah menghadapi masa-masa kesedihan beliau selepas kembali dari Taif. Semasa di Taif , baginda dilontar dengan batu oleh penduduk Taif termasuk juga kanak-kanak, sehingga berdarah kaki beliau dalam misi baginda untuk berdakwah.
Kalau kita berada di jalan yang terdapat masjid Jin itu, untuk ke Taif kita akan naik ram ke lebuhraya ke arah timur. InsyaAllah! sedikit sebanyak sudah kenal kedudukan tempat di sekitar Kota Mekah. Walau pertama kali sampai ke Mekah ini dan tinggal di Hotel kecil yang tidak banyak menerangkan infomasi mengenai tempat di sekitar Kota Mekah dan juga tidak banyak mengikut lawatan rombongan menaiki bas yang disediakan bolehlah juga aku faham. Salah satu sebab ialah aku memiliki sebuah buku yang menerangkan tempat-tempat bersejarah yang berada di Mekah Al Mukarramah.
Masjid Jin ini tidak begitu besar seperti juga masjid-masjid yang lain yang berada di sekitar Kota Mekah.
Yang bersebelahan dengan tempat aku tinggal itu namanya Masjid Pakistan. Boleh kata masjid di sana sama dengan surau untuk kita di Malaysia, yang bezanya masjid di sana ada menara.
Selepas umrah pertama dengan si Nurun, aku dan adikku buat lagi 2 kali umrah yang bermikat di Tanaeem.
Kedua-dua kali itu kami pergi menaiki van yang disewa beramai-ramai, yang dikenakan bayaran 4Rial pergi dan balik.Selepas dari itu aku berniat umrah di Hudaibiyah semasa kami buat lawatan untuk ke beberapa tempat iaitu ladang unta, Muzium Tamaddun Islam- kelambu lama, pancur emas lama, alat pengorek untuk mengabil air zam-zam dan berbagai-bagai artifek lagi.
Bagiku kawasan-kawasan di sebelah Safa belum sempat aku terokai, kawasan di sana di katakan sudah dimajukan. Aku lebih suka jika Kota Mekah tidak dibuat terlalu banyak pembangunan sehingga umat masa akan datang sudah tidak dapat menghayati kesan sejarah masa lampau. Walaupun aku dilahirkan di Malaysia, hati kecilku selalu berkata Mekah ini adalah tempat asalku bukannya Malaysia. Entah Kenapa?

Sunday, October 14, 2012

Aktiviti-Aktiviti Selepas Haji

Aku memanjat kesyukuran kepada Allah kerana perkara-perkara yang diwajibkan di dalam manasik Haji ku telah selesai. Kami ada lebihkurang 15 hari lagi sebelum berangkat ke Madinah. Kebanyakan jemaah Haji yang datang penerbangan awal ada yang sudah pulang ke Tanah Air. Dalam masa ini adikku bercadang untuk dapatkan tempat di dalam kapalterbang sekiranya ada untuk pulang awal. Bukan apa urusan kerja sedang menunggu, bekalan kewangan kami pun tidaklah banyak untuk merewang-rewang macam orang lain.
Pihak Tabung Haji kata mereka akan cuba dapatkan sekiranya ada.
Dalam hati kecilku memang aku ingin tinggal selama yang boleh di sini, di tanah yang penuh barakah. Jika itu harapan adikku aku menurut sahaja. Umrah pertama selepas haji kami ialah dengan mengikut si Nurun dibawa oleh saudaranya iaitu anak saudara kepada Ustaz Ismail Kamus untuk berniat umrah di mikat.. Beliau sedang menuntut di Universiti AlQura iaitu tidak jauh dari Baitullahil Haram. Ini adalah satu-satu universiti yang aku diberitahu yang ada di Tanah Suci Mekah.Semua pelajar-pelajar di Universiti ini dibiayai oleh Kerajaan Arab Saudi termasuk beliau sendiri. Menurutnya pelajar Malaysia yang belajar di Universiti itu ada beberapa orang sahaja. Pelajar lelaki dan pelajar perempuan belajar di kawasan yang berasingan. Semasa berada di dalam bilik kuliah pelajar perempuan digalakkan membuka tudung, kerana kakitangan termasuk pensyarah semuanya adalah perempuan. Proses pembelajaran mereka menjadi lebih selesa dan adakalanya berpakaian terlebih seksi, ini menurut isteri kepada saudara si Nurun yang juga merupakan pelajar di Universiti itu.
Kami berniat ihram di Tanain, iaitu tempat tedekat berbanding dengan tempat-tempat yang lain.Kami hanya berhenti sekejap dan berniat ihram lansung tidak keluar dari kereta. Orang dah bawa kami ikut saja yang penting dapat berniat ihram. Umrah pertama pun selesai. Selang beberapa hari adikku menalipon saudara sebelah isterinya yang memang sudah lama tinggal di Mekah. Ibu mertuanya telah beritahu saudaranya itu  yang kami ada di sana. Dengan panggilan Mak Ucu, kami pun di undang ke rumah mereka di Misfalah, tidak jauh dari kota Mekah. Di bandar ini didapati ramai jemaah dari Indonesia dan Afrika tinggal berdasarkan pada pandangan aku dan maklumat yang diberitahu oleh salah seorang jemaah haji Indonesia semasa aku bertaaruf dengannya sewaktu di Masjidil Haram. Anak Mak Ucu datang mengambil kami di Hotel dan kami dijamu dengan masakan Tomyam istemewa, um sedap sekali tambahn pula MakUcu ini warganegara Thailand pandailah masak makan Siam

Friday, October 12, 2012

Selepas Hari-Hari Tasyrik

Di dalam bas semasa perjalanan pulang ke Mekah, akupun bercerita dengan rakan sebelah, salah satu topik ialah mengenai sepasang suami isteri yang dibawa oleh seorang perempuan yang cantik ke suatu tempat yang mereka sendiri tidak tahu dimana. Selepas berada di situ untuk beberapa ketika mereka pun dihantar semula ke khemah Mina. Selepas beberapa km, kami pun terlena keletihan di dalam bas. Cuaca agak panas dan waktu sudah menghampiri tengahari, sebaik menghampiri Hotel Marwah Al Naqa, pemandu bas kami yang nampaknya sangat haus pun membrhentikan basnya di tepi jalan berhampiran Hotel Hariri. Yang kelakarnya, dia haus tak mengapa, tetapi kami penumpang-penumpang dibiarkan kepanasan setelah enjin bas dimatikan, katanya dia nak jimat minyak petrol. Semasa ini juga sebenarnya para jemaah sedang diduga oleh ALlah, janganlah kita hendak berlagak macam bos di Tanah Haram ini. Kalau dilihat sekali pandang, pemandu bas itupun memang masih muda, akhir remajalah katakan. Fikiran pun belum matang dia buat apa yang dia rasa betul sajalah. Kita para jemaah yang dah dekat separuh dekad kena banyak-banyak bersabar janganlah nak melenting.
Selepas memandu beberapa ketika dan jalan berhampiran hotel kami itu kebanyakan masa memang agak sesak, dia membuat keputusan untuk tinggalkan di tepi jalan yang masuk ke Jalan Umar Al Khattab. Mujurlah Allah mengingatkanku tempat itu sebenarnya aku pernah berjalan-jalan bersama adikku. Lantas tanpa berfikir panjang kami pun turun dari bas dan mengikut jalan pintas yang kami sudah biasa. Kami dikira tiba ke hotel di antara yang terawal, seronok bukan apa dapat masuk bilik air dahulu,  keperluan hajat dapat ditunaikan dengan cepat yang di Mina terpaksa banyak bertahan. Hari-hari berikutnya bagiku agak kurang selesa maklumlah sebelum ini aku boleh dan sibuk bersolat disamping membuat sedikit beli-belah. Aku hanya dapat bertawaf haji pada hari ke 4 selepas hari-hari Tasyrik. Alhamdulillah haid ku kering dengan sempurnanya. Kena betul-betul kering, ibadat haji bukan macam sembahyang, tidak kering mandi lagi sekali. Sebaik-baiknya walaupun sudah kering kena tunggu lagi 24 jam untuk kepastian. Kebiasaan tempoh haid ku 7 hari, aku lebihkan jadi 8 hari untuk kepastian. Masa nak menunaikan tawaf kebetulan si Nurun rakan sebilikku yang buat haji Ifrad pun belum boleh tawaf, ini disebabkan suaminya sejak pulang dari Mina mengalami demam panas, cuma dia tak sampai masuk wad dan kami pun pergi bersama. Adikku yang sudah selesai hajinya menjadi juru iring kami. Bukan apa takut-takut suaminya pening lagi sebab demamnya belum baik betul, dapatlah adikku membantunya. Inilah barakahnya berada di Mekah bila dapat menolong orang hati rasa begitu gembira sekali, mungkin sebab pahala berlipat ganda yang Allah anugerahkan, Ameen!

Saturday, September 29, 2012

Hari-hari Terakhir di Mina

Sesampai balik ke Mina, aku bersyukur kepada Allah kerana selamat sampai ke khemah ku semula. Berbaringlah saya di atas tikar plastik rakanku selepas menjamah nasi bungkus.Sambil mendengar zikir dari jemaah pakej bersebelahan, sayapun terlelap.
Keesokannya, waktu melontar ku selepas magrib dan akupun bersama rakanku Cikgu Anis merancang nak pergi mencari tambahan batu-batu untuk melontar. Berjalanlah kami ke belakang khemah sambil mendaki bukit yang banyak orang-orang Pakistan berkhemah kecil. Semasa mendaki bukit kami disapa oleh jemaah Pakistan yang menghuni di dalam khemah untuk membantu kami mencari batu-batu kecil. Kami cakap tidak perlu sebab tidak mahu waktu berehat mereka. Lereng bukit di Mina tu walaupun tidak curam tetapi agak bahaya dari keseimbangan untuk berjalan. Aku bayangkan bagaimana rasa jemaah Haji yang berhampiran dengan puncak bukit, tidak gayatkah mereka, kata hatiku mereka pernah melalui pahit getir hidup lebih teruk dari ini.
Suasana di Mina ini memang nyaman udaranya dan ada hadis meriwayatkan tempat ini adalah umpama rahim ibu yang mana dapat menampung saiz bayi walaupun asalnya sangat kecil. Bayangkan betapa selamatnya rasa seorang bayi semasa berada di dalam kandungan ibunya begitulah perasaan hati seseorang jemaah bila berada di sini. Semasa menuruni bukit sempat Cikgu Anis membelikan aku ais krim yang dijual. Boleh tahan juga rasa ais krim tu dapat menghilang rasa kehausan.
Sebenarnya semalam sekiranya aku tidak balik ke Mekah, aku sepatut ikut rakanku Eton ke tempat penyembilahan korban yang jauhnya lebihkurang 5 km. Tak ada rezeki tidak bolehlah nak dera sangat kaki ini untuk berjalan jauh. Ini pun lutut dah terasa sakit, melontar ada 2 kali lagi nak ke Jamrat.Selepas buat window shopping di kedai-kedai berdekatan aku pun masuk berehat untuk makan tengahari.
Selepas melontar kali terakhir kami dinasihatkan untuk berkemas oleh pihak Tabung Haji, kerana Maktab kami yang terawal sekali naik bas balik ke Mekah. Jadi kami sampai balik Hotel pun kira-kira hampir waktu zohor.
Rakan-rakanku yang boleh sembahyang pun bersemangat untuk melakukan tawaf haji dan saei dan bolehlah bertahallul Thani. Untuk diriku dan 3 orang lagi rakanku terpaksa tunggu haid kami kering sebelum bertahalul. Apa lagi tawaf kedailah pula kerjaku beli barang-barang pesanan yang masih tertinggal.

Sunday, September 23, 2012

Hari Kedua Bermalam di Mina

Se sampai sahaja ke kawasan Hotel kami agak kelaparan, makanlah di Restoran Sakifah yang memang selalu kami makan roti canai di situ bila balik dari sembahyang subuh. Kami pun menalipon kawan sebilik yang ada di hotel mana tahu mereka tiada di hotel dan bawa kunci ke Masjid. Mereka pun gembira kerana kami dapat sampai. Rupa-rupanya ada 2 ke 3 bilik di tingkat kami itu yang berpenghuni mereka buka pintu jadi kita boleh tahulah, mereka merebahkan badan di katil, menghilangkan keletihan.
Aku sudah terasa macam nak demam, lantas meminta Panadol pada adikku. Sebelum makan aku pastikan yang pakaian dan tuala kotorku telah ku selesaikan urusannya. Bila dah telan ubat tu dengan kehendak Allah sambil aku rebah di atas katil dan membuat sedikit bacaan tertidurlah aku sehingga aku sedari hari sudah lepas asar. Adikku pun call dan bawakan shawarma dengan nasi arab.Shawarma itu aku tak dapat habiskan sudah terlalu kenyang lalu kami sedekahkan kepada tukang cuci jalan, Adikku beritahu yang dia sudah selesai tawaf dan saei tadi jadi dia dah sempurna Hajinya pada hari itu yang kebetulan pula ialah tarikh lahirnya, 8 November.
Allah telah suratkan dalam hidupnya iaitu tepat pada hari jadinya yang ke 37 tahun dia selesaikan melaksanakan Rukun Islam ke 5 ini. Ameen! Aku pun tumpang gembira.
Kami bertolak semula ke Mina setelah adikku selesai melaksanakan solat Magrib di Masjid. Cuaca pada waktu malam agak nyaman dan aku merasa begitu segar setelah tidur lebih 2 jam tadi. Cuma adikku kakinya melecet sedikit maklumlah berjalan hampir 20km. Diapun sudah beli plaster dekat kedai di Mekah tadi. Plasternya agak sempoi, jenis bulat sambil tunjuk kepadaku sebelum memakainya. Masa itu kami dah berhenti dekat tembuk di tepi jalan berhampiran jamrat. Kawasan itu ada polis berjaga tapi dia tahu kami kecemasan nak letak plaster di kaki, dia pun benarkan. Dalam masa yang sama ada seorang berbangsa Arab pun duduk juga dan memperkenalkan dirinya orang Palestin kepada kami. Rupa-rupanya kakinya pun melecet juga, dia pun meminta kami plaster  untuk diletakkan pada kakinya, kami pun bertaaruf, lepas itu beredar untuk mengelakkan kami dari dimarahi oleh polis kerana duduk agak lama di situ.
Kebetulan masa itu juga satu rombongan jemaah haji Malaysia lalu di hadapan kami balik dari melontar, kami pun mengekori mereka. Rakanku Najibah sudah simpan bekalan makan malam untukku seperti yang aku smskannya. Aku pun makan bolehlah aku tidur nyenyak lagi setelah seharian makan angin di luar kawasan Mina. Pada kesokkan harinya aktiviti ku adalah mengikut apa yang orang lain buat seperti berzikir ikut buku yang diberi Tabung Haji. Kebetulan khemah kami dekat khemah orang Pakej TH Travel jadi banyaklah ceramah yang kami dapat tumpang dengar, walaupun kami Muassasah, inilah rezeki dari Allah, Allah berhak beri kepada sesiapa yang Dia suka. Bukan orang bagi betis hendak paha, tapi kebetulan untuk hari Kedua melontar kami tidak dapat keluar ikut jalan biasa sesak, kami pun ikut laluan orang Pakej pergi melontar dan tumpang berdoa bersama mereka.

Sambungan Bermalam Hari Pertama di Mina

Khemah dimana kami tinggal ini sangat dekat dengan terowong Muasseim. Kiranya khemah kamilah yang pertama selepas dari terowong itu. Inilah satu kelebihan yang Allah berikan yang aku mulanya tidak perasan. Selepas melontar jamrah Kubra kiranya adikku dan rakan sebiliknya merancang untuk balik ke hotel. Mungkin dia orang cultural shock dengan keadaan di Mina. Memanglah aku sendiri pun sebenarnya tiada tempat untuk tidur sebab sampai lambat, tidur dekat hujung kaki kawanlah nampaknya.Lepas itu adikku tak jadi nak balik ke hotel kawannya kata angin kuat lagipun jalan balik pun belum tahu. Bila dah tengah malam kulihat rakan sebilik si Shida ni tak ade. Tahulah aku yang dia dan suami rupa-rupanya jadi balik tidur di hotel. Dia orng pun talipon dan bagi tahu yang dia orang ikut orang Felda Global yang tahu jalan balik ke Marwah.
Aku tak kisah aku dapatlah ruang tidur sekurang-kurangnya. Bukan apa niat nak balik ke hotel tu juga ialah untuk cuci pakaianku yang dah terkena darah haid dan tuala kotor yang mana aku rasa tidak sampai hati untuk dibuang menambahkan timbunan sampah yang tidak sempat dikutip pihak Mentanance.
Aku harap Allah meredai niatku ini. Aku pun besepakat dengan adikku untuk balik juga ke hotel pada pagi esoknya. Kami tidak lagi ikut pihak Tabung Haji untuk pergi melontar Hari Tasyrik Pertama itu. Lebih kurang jam 8pagi aku pun keluar dengan adikku dari khemah menuju ke Jamrat untuk melontar ketiga-tiga jamrah. Aku dapati tiada kesesakan lansung walaupun kami keluar pada waktu pagi tapi waktu ini sebenarnya bukanlah waktu afdal mungkin salah satu sebab orang tidak ramai. Yang penting kami dah tahu kali pertama Tabung Haji dah tunjuk, Selepas melontar kami berjalanlah menuju ke Mekah dengan sinaran matahari yang belum begitu panas. Kami mengambil masa dalam 1 jam setengah, itupun dah termasuk masa kami tersasar dari jalan sebenar. Nasib baik ada 2 orang Tabung Haji berdiri sambil memegang bendera Malaysia. Mereka menanya kami nak ke mana dan beritahu laluan sebenar. Hati masa itupun memang agak risau, Menara jam Mekah belum nampak kami berjalan dah hampir setengah jam. Dalam masa kami berjalan  melalui jalan bawah Highway tu, ada sepasang Jemaah Haji Malaysia menegur kami berjalan dengan begitu cepat sekali sambil mengheret beg luggage berada. Mereka kata mereka tak tahan nak tidur di Mina sangat sempit tidak menyangka kerana mereka ikut Pakej sepatut ada ruang sikit jadi nak balik rehat ke hotel rasanya. Kebetulan hotel mereka pun tidak jauh dari hotel kami arah samalah.Selepas itu mereka meniggalkan kami sebab kami take our own sweet time sebenarnya mukaku juga sudah kekeringan dek hembusan angin kering dan cuaca mulai panas setiap 10 minit kami berhenti minum air mineral yang diberi Muassasah.
Bila kami dah agak hampir dengan kawasan Masjid Haram kami pun duduk berehat lagi di tepi jalan sambil minum air. Terlintas di fikiran, dan berkata pada adikku pasangan tadi dah sampai agaknya, tiba-tiba saja kedua-dua merekapun lalu di hadapan kami berjalan dengan lajunya aku pun tersenyum dengan adikku.

Saturday, September 1, 2012

Mabit di muzdalifah dan Bermalam di Mina

Penantian di Arafah menunggu bas kami untuk ke Muzdalifah agak mencabar. Maklumlah seharian kepanasan bas pula datang satu pergi sehingga sudah tiada orang di kawasan kami barulah bas kami datang.
Ku dengar ada seorang jemaah lelaki meninggal akibat kepanasan melampau siang tadi.Itu sudah ajalnya kata hatiku. Perjalanan dalam bas menuju Muzdalifah ini ku rasa lebih mencabar sebab sikap pemandu bas,  aku rasa mereka semakin akibat jalan semakin sesak. Mereka bergaduh sesama mereka walaupun dalam bas berasingan.
Kami sampai ke Muzdalifah pun agaknya sudah lewat aku rasa dalam jam 3 ke 4 pagi sebab orang sudah sesak dan tiada tempat untuk kami duduk berehat dan kutip batu. Yang paling terdesak tempatnya kami terpaksa tidur berhadapan dengan tandas awam dimana setiap masa manusia keluar masuk. Kasihan pada adikku sebab itu tandas awam kaum perempuan. Kalau dibandingkan dengan keadaan mengantuk dan keletihan teramat apalah makna keadaan itu semua. Maka terlelaplah kami berdua dicelah-celah manusia lain sementara menunggu pagi. Bagiku lebih dekat tandas lebih senang kerana menukar tuala wanitaku.
Yang aku perasan kawasan ini macam bekas ladang unta atau kambing sebab ada bau-bau seperti itu walaupun bau tandas lebih kuat. Dalam masa beberapa jam aku mabit di sini paling kerap bunyi siren ambulan. Nampaknya ramai jemaah yang jatuh sakit semasa di sini atau mungkin lanjutan dari berhimpun di Arafah. Aku bersyukur kerana Allah masih memberi kesihatan dan kekuatan di sini.
Sesampai di Mina hari sudah menjelang pukul 10pagi. Aku pun menuju ke khemahku seperti yang diberi pada kad tanda nama kami. Agak sukar untuk mencarinya. Keadaan di perkhemahan ini macam pasar tani dengan ruang-ruang yang terhad dan mereka melabelkan lorong-lorong antara khemah dengan nama sayur-sayuran seperti tomato, kobis, bayam dan macam-macam lagi. Sedang aku mula untuk merebahkan badan menghilangkan keletihan ku lihat di hadapanku(kerana khemah ni lebih luas saujana mata memandang tapi lebih sesak berbanding di Arafah) dua kumpulan jemaah sedang berusaha untuk memberi bantuan kecemasan. Rupa-rupanya salah seorang sudah lebih 60 tahun alami sesak nafas dan seorang lagi masih muda juga sesak nafas akibat kelelahan menjaga ibunya yang sudah uzur sepanjang perjalanan tadi.
Kedua-dua mereka dihantar ke Klinik sementara di perkhemahan ini. Jemaah berusia lebih 60 tahun itu akhirnya meninggal di Hospital King Aziz setelah berada di sana selama sebulan.
Kami hanya mula melontar jamrah Aqabah setelah lewat petang. Ini atas arahan pihak Tabung Haji untuk mengelakkan kesesakan. Lagipun kami di antara kumpulan yang paling lewat sampai ke Mina. Perlu lebih masa untuk rehat sebelum berjalan kaki untuk melontar pula.

Aktivitiku Semasa Di Padang Arafah

Satu kekangan yang ku harus hadapi walaupun tidak perlu bersesak untuk sembahyang, ialah pembersihan darah haid yang maklumlah hari pertama keluar, adalah berlebihan dari hari-hari berikutnya. Aku pun terpaksa pagi-pagi lagi pergi beratur untuk masuk tandas. Apa nak buat yang kotor perlu dibersihkan dan diutamakan kesian orang-orang sebelahku nanti bau aroma darah loya pula mereka.
Keadaanku ini perlu selalulah ke tandas nampaknya, kalau masa haid nak buang air besar susah untuk ditahan-tahan. Sekali lagi aku ke tandas iaitu lebihkurang jam 10pagi, rupa-rupanya dengan ketentuan Allah aku terperasan Cikgu Om jiranku yang telah berpindah juga beratur bersama di sebelahku  Beliau yang aku dapat tahu juga dapat menjadi tetamu Allah di saat akhir. Bersembanglah pula aku dengannya sehingga tanpa kami sedari giliran kami pun sampai, jadi tidaklah rasa jemu menunggu giliran.
Menjelang waktu zohor para jemaah semua bersedia mendirikan solat tamam (iaitu solat jamak zohor dan asar) selepas itu ber tazkirah sambil bermunajad kepada Allah. Terdengarlah rintihan sipeminta merendah diri kepada Allah sambil teresak-esak memohon keinsafan di atas dosa-dosa yang dilakukan.
Bagiku insan kerdil terperosok di hujung khemah demi memberi ruang kepada rakan-rakan lain untuk solat berjemaah. Di saat jemaah-jemaah khusyuk bersembahyang, kubaringkan diriku kerana sakit belakang kian terasa(perkara biasa awal haid) mukaku pula memandang ke arah langit membiru. Ku panjatkan doa apa saja yang dituliskan di buku catatanku. Dalam masa ini anak tunggalku mula menghantar sms ingin mengetahui dimana aku berada. Bak kata orang Jauh di mata dekat di hati. Sekurang-kurangnya dia tahu aku sedang berada di Arafah diperingatkan lagi hasratnya dan rakan-rakannya berjaya menjalani peperiksaan SPM dengan baik, Amin!
Bila matahari agak redup sedikit akupun mulalah memanjangkan kakiku merayau-rayau. Ku lihat ramai jemaah suami isteri duduk berdua memakai payung memanjatkan doa di tanah lapang. Ada juga khemah yang berhawa dingin, kebanyakan orang Arab yang berada/pangkat dan para def-def kehormat. Sekali pandang mereka ini macam datang beriadah saja satu keluarga sekali dengan anak-anak bermain di luar khemah  tidak akan terasa perit jerih susah payah seperti jemaah lain. Masing-masing habuanlah, kataku.Si Anis kawan sebilikku pula berasa lapar maklumlah aktiviti kami terhad, pergilah kami mencari khemah tempat penyediaan makanan. Sesampai nya kami ke situ kami diberitahu Muassasah berkenaan yang makanan sudah siap akan dihantar sebentar saja lagi. Kami dapat makan terawal sekali kerana kami pergi mencari mereka jadi mereka tahu kami sudah terlalu lapar. Setelah selesai makan selepas magrib kami pun berkemas dan beratur untuk menunggu bas yang akan membawa kami ke Muzdalifah.

Perjaanan ke Arafah 2012/1432Hirah

Pada pagi 8 Zulhijjah dan sebelumnya aku disibukkan oleh Pihak Tabung Haji untuk memastikan kami betul-betul faham manasik/perjalanan Haji. Maklumlah majoriti kami adalah jemaah kali pertama memang kabur-kabur sedikit. Banyaklah sesi-sesi penerangan yang dijalankan. Di hotel Marwah Al Naga ini ada 3 KT, iaitu KT 43, KT 53 dan KT 69. Sesi penerangan pun dijalankan mengikut KT masing-masing. Satu KT pun dah sesak surau yang asalnya bilik seminar hotel, bagaimana nak sumbat ke tiga-tiga KT sekali. Aku kurang jelas pula kalau disebut Maktab sebab kadang-kadang kami diklas ikut Maktab. Yang aku tahu aku adalah Maktab 96. Tidak mengapalah ku teruskan penceritaan mengenai perjalanan ke Arafah.
Setelah selesai berkemas, aku pun mandi sunat sebelum berniat Haji. Dalm bilik aku itu si Pensyarah yang aku panggil eton itu memang rajin menyediakan maklumat persediaan yang perlu dibuat. Dia menampal maklumat tersebut di pintu bilik kami. Jadi tidak ada sesiapa yang akan terlupa atau terlepas pandang.
Aku diberitahu sebelum ini untuk KT kami dijangka bertolak selepas Isyak. Seperti biasa sikapku yang suka bersantai tapi yang perkara-perkara penting seperti mandi, sembahyang sunat dan juga fardhu semua sudah kulakukan cuma aku tidak suka berdiri dan duduk tunggu.
Tiba-tiba ku dengar pihak Tabung Haji buat pengumuman suruh kami turun segera kerana bas sedang menunggu apa lagi kelam kabut aku dibuatnya.Begitu juga dengan adikku yang juga agak relaks dapatlah kami naik bas terakhir dari 9 bas. Tidak mengapa asal sampai kebetulan pula jemaah-jemaah bersama kami adalah yang jenis faham lebih. Mereka banyak bertalbiah sepanjang perjalanan ke Arafah. Walaupun hari sudah gelap aku dapat merasakan keseronokan perjalanan ini maklumlah melihat jemaah-jemaah negara lain terutamanya yang duduk di atas bumbung bas, kereta, van dan lori, semuanya menuju ke destinasi yang sama  tapi dari jalan-jalan berlainan. Allah Maha Besar, walaupun kekecohan berlaku dikalangan pemandu-pemandu bas kerana ada memotong laluan tapi kemalangan tidak terjadi. Ini kerana sikap orang Arab ini memang kasar hati mereka baik.
Sesampai ke khemah yang mana disedialan mengikut nama masing-masing, nostalgia masa perkemahan semasa aktiviti di Universiti mengimbau. Tidak sedikit dihatiku merasa resah kerana aku telah reda seadanya. Memanglah kurang keselesaan dari segi kurang kipas dan cahaya lampu, namun bagiku Tuhan mengujiku iaitu sebelum masuk waktu Subuh, darah haid ku keluar dengan begitu banyak sekali sehingga melekat ke bahagian baju luar. Pakai baju putih pulak dalam kelam cahaya pun orang lain boleh perasan.
Aku panjatkan rasa syukurku kerana Allah telah melewatkan darah haid keluar dari waktu sepatutunya iaitu pada hari sampainya aku ke Mekah kepada sehinggalah aku sampai ke Tanah Halal ini (Padang Arafah).

Friday, July 27, 2012

Kehidupan hari-hariku Sebelum berangkat ke Arafah


Setelah selesai Umrah yang pertama kali kulakukan ini, aku dan adikku banyak berulang-alik dari Hotel Marwah ke Masjid Haram. Pada waktu siang kerap kali aku berjemaah di Hotel, menurut Ustaz yang bertugas , kami digalakkan berehat dan menyimpan tenaga untuk perjalanan Haji yang cuma tinggal 5 hari lagi. Lagipun sembahyang di Tanak Suci Mekah ini sudah dikira 100ribu kali ganda tidak semestinya di Masjid Haram. Berdasarkan notis yang ditampalkan di dinding Hotel pula, ada Hadis meriwayatkan, bahawa bersembahyang jemaah di Masjid Haram, pahalanya adalah 25x100ribu kali ganda, Wallahu Alam.
Yang penting, matlamatku adalah mengerjakan Haji sesempurna yang boleh. Kebetulan bilik yang ku menginap pula terpilih untuk dilawati oleh Pegawai Pemakanan Tabung Haji, beliau memberi tip-tip untuk menjaga kesihatan sepanjang berada di sini dan maklumat ini kami perlu panjang-panjangkan kepada penghuni bilik lain yang dia tidak sempat lawati. Alahamdulillah tip-tip yang disampaikan aku fahami dan ikuti.
Atara tip-tipnya ialah kami tidak digalakkan mandi terlalu kerap, kalau bolih sehari sekali sudah mencukupi. Ini untuk mengelakkan dehydrasi air dari badan. Air di Arab Saudi dikatakan tidak dicernakan dengan baik iaitu air laut, jadi kandungan garamnya masih tinggi. Kerap mandi akan menyebabkan air dari badan akan hilang dengan banyak- proses osmosis berlaku. Begitu juga dari segi pemakanan digalakkan banyak minum air kosong dan kurang memakan buah lai yang kerap dihidang oleh Caterer. Buah lai ini merangsang untuk kita mudah batuk. Digalakkan banyak memakan sayur, tetapi sayur di sini memanglah kurang, jadi digantikan dengan air zam-zam.
Pintu atau al-Bab yang biasa bagiku untuk masuk ke Masjid Haram ialah Babul Fath, Babul Nadwah dan ada juga melalui Dataran As Safa. Kebiasaannya waktu puncak kami melalui Babul Fath atau Babul Nadwah mudah untuk ke Tingkat 1 di mana lebih banyak tempat untuk bersolat.

Warna-Warni Latar Belakang Rakan Sebilikku


 Allah berfirman :Ingatlah Wahai Insan, tidak Aku jadikan manusia itu meainkan untuk mengabdikan kepadaKu. Peranan kita yang utama adalah untuk beribadah kepada Allah. Segala pangkat dan kedudukan kita tidak dipandang kerana kita adalah pada asasnya  hamba Allah.
Di Mekah Al Mukarramah aku menginap di bilik 603, iaitu tingkat 6. Hotel itu mempunyai 10 tingkat dan bersama-sama denganku ada 7 lagi jemaah haji lain. Berikut adalah nama-nama dan latar-belakang mereka. Bukan apa sebagai kenangan yang tidak akan dirasai lagi.
1. Norsidah bt Abd Kadir - 54 tahun dari Sek 17 Shah Alam - suri rumah mempunyai 2 org anak + 2org cucu.
2. Engku Nora - 41 tahun dari Puncak Alam - seorang doktor bekerja di Klinik Dr Rani Kelang - 4 org anak
3.Hanizah bt AhmadLisa - 45 tahun dari Setapak,K,L - seorang guru pakar Sejarah - belum dikurnia anak
4.Najibah Abdullah - 48 tahun dari Taman Perkasa Shamelin, K.L - seorang Ustazah mempunyai 6 org anak.
5. Nurlida bt Manan - 45 tahun dari Serendah, Selangor - seorang guru bahasa mempunyai 4 org anak
6. Zaiton bt Shariff - 43 tahun dari Sek 10 Shah Alam - seorang Pensyarah UITM mempunyai 4 org anak
7. Roshida bt Daud - 39 tahun dari Bandar Baru Bangi - seorang pegawai LHDN mempunyai 3 org anak

Walaupun bilik kami adalah kategori penghuni yang ramai biasanya 5 orang sahaja, tapi kami redha dan tidak membandingkan atau merungut sangat. Di bumi Mekah ini tambahan pula dapat datang pun kami semua dah bersyukur. Aku rasa begitu selesa dengan rakan-rakan sebilikku kerana aku rasakan mereka semua ada sifat timbang rasa. Di dalam bilikku ini yang pernah datang ke Mekah hanya 2 orang, itupun mereka buat umrah dan agak begitu lama, jadi kami semua rasa tiada yang lebih.
Bagiku apa yang Allah jadikan kita seadanya ada sebabnya. Yang pentung sifat bersyukur hendak disematkan di dalam hati.
Perjalanan hidupku di sini bermula dengan bila aku balik dari solat subuh, rakan sebilkku Hanizah akan tunggu dan bersedia dengan kuih yang telah dibelinya. Yang paling kerap dibeli ialah lemping. Dia sejak sampai Mekah kedatangan darah Istihadah, kurang peluang untuk ke Masjid, tapi di ganti dengan banyak menolong rakan-rakan membeli itu dan ini. Mudah-mudahan Allah memberkati apa yang dilakukannya, Amin.

Friday, April 13, 2012

Detik Permulaan Menjadi Tetamu Allah

Semasa di dalam kapalterbang kami didengarkan dengan talbiah dari kumpulan Raihan oleh Penerbangan Malaysia. Para jemaah haji begitu senyap semasa penerbangan ini, samada keletihan, kerisauan dan kesedihan meninggalkan orang -orang tersayang untuk lebih 40 hari. Ini bukanlah masa yang sekejap bagi yang tidak berpengalaman berjalan jauh. Penerbangan untuk ke Jeddah ini tidaklah terlalu lama iaitu hanya 8 jam. Kami bertolak jam 4.30 ptg dan sampai ke lapangan terbang Jeddah lebihkurang pukul 8.30 mlm jam Arab Saudi. Selepas melalui pemeriksaan kastam, kami menunaikan sembahyang Isyak jamak Takhir dengan Maghrib di lapangan terbang Jeddah. Rupa-rupanya lapangan terbang ini adalah khusus untuk jemaah haji dari Asia Tenggara. Jadi kami terpaksa menunggu bas-bas yang mengangkut jemaah Malaysia. Jemaah Indonesia nampaknya memonopoli kawasan lapangan terbang ini diikuti oleh Pakistan. Semasa ketibaan bas untuk membawa kami aku sudah terlalu mengantuk, maklumlah kalau ikut jam Malaysia sudah melewati 12 mlm. Aku paksa juga makan nasi Arab yang dibekalkan oleh pengusaha bas, makan dalam kapalterbang tadi kira tea time ini barulah dinner kejap sikit perutku ini. Lepas tu terlelap kami sehingga sedar-sedar dah sampai pun ke perkarangan hotel, iaitu Hotel Marwah Al Naqa. Sebelum kami turun dari bas seorang Mutawwif memperkenalkan dirinya dan bertanggung jawab ke atas kebajikan kami semasa di Makkah Al Mukarramah. Aku dan adikku meluru terus ke bilik kami yang telah ditetapkan. Kiranya aku mendahului dari rakan-rakan bilikku yang lain dan aku memilih katil yang berhampiran tingkap. Sejurus selepas meletakkan bag, adikku mengajakku untuk terus ke Masjid Al-Haram untuk segera bertawaf, saie dan bertahallul. Aku mengikut sahaja, takut juga kitara haid ku bila-bila masa saja lagi kalau aku sudah haid lama pula dalam ihram umrah ni nanti, pantang larang tu yang takut tidak terjaga/tidak perasan.
Semasa petugas haji memberi taklimat dan membawa jemaah haji pada pagi esoknya untuk mengerjakan tawaf rukun umrah dan seterusnya, aku, adikku dan beberapa rakan sebiliknya tidur sepuas-puasnya untuk meghilangkan keletihan.

Sunday, March 11, 2012

Permulaan - Hari Keberangkatan ke Mekah


Tanggal 23 Oktober 2011, merupakan hari penuh bermakna bagiku. Aku bertolak untuk menunaikan Haji iaitu pada hari Ahad. Waktu kapalterbang berlepas 4 petang. Aku keluar dari rumah dalam pukul 9pagi. Hari bercuti bagi suami dan anakku yang bersekolah di tingkatan 5. Perancangan Allah memang cantik untukku. Setibanya aku di Kelana Jaya jam menunujukkan hampir 10pagi seperti mana jemaah lain aku beratur untuk mengambil apa-apa yang patut terutama sekali passport dan kad yang akan menggantikan mykad kerana Mykad tidak dibenarkan dibawa bersama Tempat penginapan juga diberitahu di situ. Selesai menunaikan sembahyang sunat musafir+ sumat ihram,iaitu dalam pukul 12.30thari, masa tiba untuk semua jemaah check in bagasi.
Kami pun beratur menuju ke dewan menuggu di Kelana Jaya dan diberi sedilit taklimat. Pada waktu sudah zohor dan para jemaah pun menunaikan solat zohorjamak taqdim asar. Perut terasa agak lapar maklum di rumah hanya makan roti canai, bila sudah tengahari tentulah perut terasa lapar nasi. Ada orang yang berjualan berhampiran dewan itu cuma aku tidak membawa duit RM tak daptlah aku nak beli makanan di situ. Ramai juga jemaah yang terkilan maklumkah bukan nya tak ada duit cuma tak bawa RM saja. Akupun tahan sajalah selera nak makan tu nasib ada gula-gula makanlah gula-gula sementara nak sampai KLIA.
Selepas semua selesai bersolat beratur pulalah kami menuju bas yang akan membawa ke KLIA. Inilah satu-satunya pengalaman yang tidak akan dirasai lagi bagi seorang insan dan warga negara Malaysia seperti aku di eskot oleh polis trafik. Di sepanjang perjalanan, polis trafik akan menahan kenderaan untuk memberi laluan kepada 10 buah bas yang membawa jemaah haji KT 69 ini. Aku dan adikku naik bas yang ke 4 dan kebetulan kami duduk di bahagian belakang sekali, jadi kerusinya lebih tinggi dan kami dapat melihat lebih luas lagi pemandangan di sekeliling kami dengan lebih jelas lagi.

Saturday, February 25, 2012

Hidayah Satu Kunci Kehidupan

Setiao orang yang beragama Islam akan terdapat salah satu dari 3 sifat berikut:
1. Orang yang tetap dalam keimanannya.
2. Orang yang hatinya kadang-kadang naik dan kadang-kadang turun imannya
3. Orang yang Islam hanya pada nama tetapi tindak-tanduk lansung tidak mengikut ajaran Islam.

Kebanyakan dari kita mempuyai sifat ke 2. Untuk orang yang bersifat no.2 ini mujahadah hendaklah sentiasa diterapkan di dalam hati agar kita sedaya upaya dapat mengikut sifat 1.
Bukan mudah untuk istiqamah ke jalan yang lurus ini. Tetapi tidak sukar sekiranya sentiasa mengikut garis panduan-garis panduan yang ditetapkan.
Dalam ertikata lain orang yang bersifat 1 ialah orang yang mendapat hidayah. Orang ini telah dikatakan mendapat kunci untuk menjalani kehidupan yang fana ini.
Ada 4 cara untuk kita pastikan kita sentiasa mendapat hidayah Allah, iaitu:
1. Membaca dan mentadabbur Al-Quran
2. Mengikut sunnah Rasulullah s.a.w
3. Mujahadah - sentiasa berusaha menetapkan iman
4. Banyak bersedekah
InsyaAllah! ilmu yang mendekatkan diri kita pada Allah akan sentiasa datang kepada kita.
Semua masalah-masalah kehidupan dunia ini kita dapat hadapi dengan tenang kerana kita tahu Allah sentiasa bersama kita. Allah tidak akan melupakan hambaNya yang sentiasa ingat padaNya. Amin!

Friday, February 24, 2012

Hari Jumaat Semasa Waktu Kerja

Aku ditugaskan bekerja dari jam 10pagi hingga ke 7 malam. Kebiasaannya hari Jumaat adalah hari cuti bagi negeri-negeri yang beratkan ajaran Islam di Malaysia ini. Malangnya bagiku sudahlah keuzuran hari pertama. Begitu melemahkan diriku. Walaupun aku telah makan 2 biji telur ayam kampung separuh masak pada waktu pagi, aku menjadi lebih lemah. Pertama kerja yang aku lakukan hari adalah dari bahan kimia bahaya, memeningkan kepala baunya begitu tajam. Bahan tersebut adalah dari jenis cuka yang kepekatan 100 kali ganda lebih. Cukup menambahkan loya tekakku. Kedua, kelalaian seorang petugas mencampur berlebih air menyebabkan spesifikasi bahan tidak dicapai. Aku pula yang disalahkan kononnya tidak menyiapkan kalibrasi terbaru bekas yang telah dibuat menyebabkan berlebihnya air itu. Dimana lojiknya aku pun bertambah pening jadinya. Sebagai seorang ketua di atas ku, dia tidak sepatutnya percaya apa yang dikata oleh petugas itu. Carilah punca sebenarnya dahulu. Dalam keadaan tertekan aku pun hilang fokus, di dalam hati hanya pada Allah aku berserah. Teringat akan kisah yang diwahyukan Allah ketika Nabi Muhammad pbuh bersedih dengan kewafatan Siti Khadijah diikuti Abu Talib tertekan oleh khurafatnya penduduk Mekah di masa itu. Nabi Yunus pun mengalami keadaan sama lalu dia melarikan diri menaiki kapal besar, dalam kisah tersebut dia dibuang ke dalam laut dan dimakan ikan paus. Di dalam perut ikan paus dia juga merasa lebih tertekan dengan keadaan panas, lalu akhirnya dia pun berdoa kepada Allah. Allah memakbulkan doanya dan dia terdampar ke tepi pantai. Akupun berdoa kepada Allah tolonglah tunjukkan mereka keadaan sebenar apa punca masalahnya. Nak ku bela diriku akupun baru masuk kerja apa yang terjadi sejak pukul 8 pagi tadi aku pun tidak pasti sebenarnya dan dalam keadaanku yang pening macam nak pitam. Allah saja yang tahu.
Allah Maha Penyayang, sebelum jam 2 tengahari, bahan tersebut dapat memenuhi spesifikasi dengan memindahkan ke bekas yang lain. Punca masalahnya di sini bukanlah kalibrasi bekas tetapi bekas yang bermasalah. WallahuAlam!

Perjalanan Hidupku Hari Ini - Jumaat

Seperti biasa sejak anak tunggalku berada di rumah, aku kadang kala menunaikan sembahyang subuh di masjud bersamanya. Biasanya kami akan berjanji sebelum tidur kalau kami nak ke masjid subuh esoknya. Allah lebih menentukan segalanya sebaik aku bangun tidur jam 5.30 pagi, aku terasa tidak selesa. Sahlah aku tidak dapat sembahyang. Oeh kerana anakku sudah mandi dan bersedia untuk ke masjid, aku pun pergi hantarnya ke masjid tanpa beritahunya keadaan aku yang uzur. Akupun lelap di dalam kereta sementara menunggu dia selesai. Dalam masa yang sama aku dapat juga dengar surah yang dibaca imam di dalam sembahyang subuh itu. Seperti pagi Jumaat biasanya imam membaca surah Sajdah. Malangnya semasa membaca surah tersebut lepas ayat ke 3 imam tidak dapat ingat sehingga dia terpaksa mengulangi surah tersebut sebanyak 3 kali. Lintasan apa yang menghalangnya ingat ayat itu, Allah saja yang tahu. Menurut anakku dia dan PakChik di sebelahnya tolong bantu imam itu mengingat semula walaupun mereka berada di baris ke 4. Itulah fadhilat berjemaah selain dari 27 kali ganda sembahyang berseorangan kita dapat saling bantu membantu. Mudah-mudahan aku dapat juga saham anakku menghantar anakku ke masjid degan sebab itu hikmahnya dia dapat menolong imam itu meneruskan bacaan surah Sajdah.

Wednesday, February 22, 2012

Alhamdulillah.........................

Sebenarnya sudah lama niat untuk mengemaskinikan blogs ini,namun di atas masalah teknikal yang aku tidak dapat kenalpasti apa puncanya., agak lama blogs ini terabai.Walaupun sudah hampir dua bulan selepas kepulanganku dari tanah suci Mekah,kerinduan ini sentiasa mekar di hati. Aku doakan dua lagi adikku, akan mengikut jejak langkah ku suatu nanti, dengar-dengarnya adik bongsuku sudah pun mendaftarkan haji bersama suaminya dan sementara sorang lagi mungkin sedang berusaha kearah itu.
Kini, aku kembali seperti biasa,kerja siang hingga ke malam,manakala anak tunggalku menghabiskan cuti SPMnya dengan semua perancangan yang telah dia pilih.