Saturday, December 15, 2012

Lawatan Sekitar Kota Mekah

Waktu-waktu selepas haji inilah kami banyakkan masa terluang membeli barang-barang untuk dibawa pulang sebagai buah tangan untuk sahabat handai.  Kami berjalan untuk membeli gelang tangan untuk anak buahku yang perempuan menuju ke sebelah utara Jalan Ummar Al Khattab, iaitu Timur Laut Masjidil Haram.
Aku kurang arif pula nama jalan itu, kalau di KL sinonim keadaannya dengan Jalan TAR. Rupa-rupanya ada sebuah masjid dijalan itu, masjid Jin namanya. Mengikut sejarah sekumpulan jin berbaiah dengan Baginda Rasulullah di situ. Peristiwa itu berlaku selepas Baginda Rasulullah menghadapi masa-masa kesedihan beliau selepas kembali dari Taif. Semasa di Taif , baginda dilontar dengan batu oleh penduduk Taif termasuk juga kanak-kanak, sehingga berdarah kaki beliau dalam misi baginda untuk berdakwah.
Kalau kita berada di jalan yang terdapat masjid Jin itu, untuk ke Taif kita akan naik ram ke lebuhraya ke arah timur. InsyaAllah! sedikit sebanyak sudah kenal kedudukan tempat di sekitar Kota Mekah. Walau pertama kali sampai ke Mekah ini dan tinggal di Hotel kecil yang tidak banyak menerangkan infomasi mengenai tempat di sekitar Kota Mekah dan juga tidak banyak mengikut lawatan rombongan menaiki bas yang disediakan bolehlah juga aku faham. Salah satu sebab ialah aku memiliki sebuah buku yang menerangkan tempat-tempat bersejarah yang berada di Mekah Al Mukarramah.
Masjid Jin ini tidak begitu besar seperti juga masjid-masjid yang lain yang berada di sekitar Kota Mekah.
Yang bersebelahan dengan tempat aku tinggal itu namanya Masjid Pakistan. Boleh kata masjid di sana sama dengan surau untuk kita di Malaysia, yang bezanya masjid di sana ada menara.
Selepas umrah pertama dengan si Nurun, aku dan adikku buat lagi 2 kali umrah yang bermikat di Tanaeem.
Kedua-dua kali itu kami pergi menaiki van yang disewa beramai-ramai, yang dikenakan bayaran 4Rial pergi dan balik.Selepas dari itu aku berniat umrah di Hudaibiyah semasa kami buat lawatan untuk ke beberapa tempat iaitu ladang unta, Muzium Tamaddun Islam- kelambu lama, pancur emas lama, alat pengorek untuk mengabil air zam-zam dan berbagai-bagai artifek lagi.
Bagiku kawasan-kawasan di sebelah Safa belum sempat aku terokai, kawasan di sana di katakan sudah dimajukan. Aku lebih suka jika Kota Mekah tidak dibuat terlalu banyak pembangunan sehingga umat masa akan datang sudah tidak dapat menghayati kesan sejarah masa lampau. Walaupun aku dilahirkan di Malaysia, hati kecilku selalu berkata Mekah ini adalah tempat asalku bukannya Malaysia. Entah Kenapa?

No comments:

Post a Comment