Saturday, September 1, 2012

Aktivitiku Semasa Di Padang Arafah

Satu kekangan yang ku harus hadapi walaupun tidak perlu bersesak untuk sembahyang, ialah pembersihan darah haid yang maklumlah hari pertama keluar, adalah berlebihan dari hari-hari berikutnya. Aku pun terpaksa pagi-pagi lagi pergi beratur untuk masuk tandas. Apa nak buat yang kotor perlu dibersihkan dan diutamakan kesian orang-orang sebelahku nanti bau aroma darah loya pula mereka.
Keadaanku ini perlu selalulah ke tandas nampaknya, kalau masa haid nak buang air besar susah untuk ditahan-tahan. Sekali lagi aku ke tandas iaitu lebihkurang jam 10pagi, rupa-rupanya dengan ketentuan Allah aku terperasan Cikgu Om jiranku yang telah berpindah juga beratur bersama di sebelahku  Beliau yang aku dapat tahu juga dapat menjadi tetamu Allah di saat akhir. Bersembanglah pula aku dengannya sehingga tanpa kami sedari giliran kami pun sampai, jadi tidaklah rasa jemu menunggu giliran.
Menjelang waktu zohor para jemaah semua bersedia mendirikan solat tamam (iaitu solat jamak zohor dan asar) selepas itu ber tazkirah sambil bermunajad kepada Allah. Terdengarlah rintihan sipeminta merendah diri kepada Allah sambil teresak-esak memohon keinsafan di atas dosa-dosa yang dilakukan.
Bagiku insan kerdil terperosok di hujung khemah demi memberi ruang kepada rakan-rakan lain untuk solat berjemaah. Di saat jemaah-jemaah khusyuk bersembahyang, kubaringkan diriku kerana sakit belakang kian terasa(perkara biasa awal haid) mukaku pula memandang ke arah langit membiru. Ku panjatkan doa apa saja yang dituliskan di buku catatanku. Dalam masa ini anak tunggalku mula menghantar sms ingin mengetahui dimana aku berada. Bak kata orang Jauh di mata dekat di hati. Sekurang-kurangnya dia tahu aku sedang berada di Arafah diperingatkan lagi hasratnya dan rakan-rakannya berjaya menjalani peperiksaan SPM dengan baik, Amin!
Bila matahari agak redup sedikit akupun mulalah memanjangkan kakiku merayau-rayau. Ku lihat ramai jemaah suami isteri duduk berdua memakai payung memanjatkan doa di tanah lapang. Ada juga khemah yang berhawa dingin, kebanyakan orang Arab yang berada/pangkat dan para def-def kehormat. Sekali pandang mereka ini macam datang beriadah saja satu keluarga sekali dengan anak-anak bermain di luar khemah  tidak akan terasa perit jerih susah payah seperti jemaah lain. Masing-masing habuanlah, kataku.Si Anis kawan sebilikku pula berasa lapar maklumlah aktiviti kami terhad, pergilah kami mencari khemah tempat penyediaan makanan. Sesampai nya kami ke situ kami diberitahu Muassasah berkenaan yang makanan sudah siap akan dihantar sebentar saja lagi. Kami dapat makan terawal sekali kerana kami pergi mencari mereka jadi mereka tahu kami sudah terlalu lapar. Setelah selesai makan selepas magrib kami pun berkemas dan beratur untuk menunggu bas yang akan membawa kami ke Muzdalifah.

No comments:

Post a Comment