Pada pagi 8 Zulhijjah dan sebelumnya aku disibukkan oleh Pihak Tabung Haji untuk memastikan kami betul-betul faham manasik/perjalanan Haji. Maklumlah majoriti kami adalah jemaah kali pertama memang kabur-kabur sedikit. Banyaklah sesi-sesi penerangan yang dijalankan. Di hotel Marwah Al Naga ini ada 3 KT, iaitu KT 43, KT 53 dan KT 69. Sesi penerangan pun dijalankan mengikut KT masing-masing. Satu KT pun dah sesak surau yang asalnya bilik seminar hotel, bagaimana nak sumbat ke tiga-tiga KT sekali. Aku kurang jelas pula kalau disebut Maktab sebab kadang-kadang kami diklas ikut Maktab. Yang aku tahu aku adalah Maktab 96. Tidak mengapalah ku teruskan penceritaan mengenai perjalanan ke Arafah.
Setelah selesai berkemas, aku pun mandi sunat sebelum berniat Haji. Dalm bilik aku itu si Pensyarah yang aku panggil eton itu memang rajin menyediakan maklumat persediaan yang perlu dibuat. Dia menampal maklumat tersebut di pintu bilik kami. Jadi tidak ada sesiapa yang akan terlupa atau terlepas pandang.
Aku diberitahu sebelum ini untuk KT kami dijangka bertolak selepas Isyak. Seperti biasa sikapku yang suka bersantai tapi yang perkara-perkara penting seperti mandi, sembahyang sunat dan juga fardhu semua sudah kulakukan cuma aku tidak suka berdiri dan duduk tunggu.
Tiba-tiba ku dengar pihak Tabung Haji buat pengumuman suruh kami turun segera kerana bas sedang menunggu apa lagi kelam kabut aku dibuatnya.Begitu juga dengan adikku yang juga agak relaks dapatlah kami naik bas terakhir dari 9 bas. Tidak mengapa asal sampai kebetulan pula jemaah-jemaah bersama kami adalah yang jenis faham lebih. Mereka banyak bertalbiah sepanjang perjalanan ke Arafah. Walaupun hari sudah gelap aku dapat merasakan keseronokan perjalanan ini maklumlah melihat jemaah-jemaah negara lain terutamanya yang duduk di atas bumbung bas, kereta, van dan lori, semuanya menuju ke destinasi yang sama tapi dari jalan-jalan berlainan. Allah Maha Besar, walaupun kekecohan berlaku dikalangan pemandu-pemandu bas kerana ada memotong laluan tapi kemalangan tidak terjadi. Ini kerana sikap orang Arab ini memang kasar hati mereka baik.
Sesampai ke khemah yang mana disedialan mengikut nama masing-masing, nostalgia masa perkemahan semasa aktiviti di Universiti mengimbau. Tidak sedikit dihatiku merasa resah kerana aku telah reda seadanya. Memanglah kurang keselesaan dari segi kurang kipas dan cahaya lampu, namun bagiku Tuhan mengujiku iaitu sebelum masuk waktu Subuh, darah haid ku keluar dengan begitu banyak sekali sehingga melekat ke bahagian baju luar. Pakai baju putih pulak dalam kelam cahaya pun orang lain boleh perasan.
Aku panjatkan rasa syukurku kerana Allah telah melewatkan darah haid keluar dari waktu sepatutunya iaitu pada hari sampainya aku ke Mekah kepada sehinggalah aku sampai ke Tanah Halal ini (Padang Arafah).
No comments:
Post a Comment