Penantian di Arafah menunggu bas kami untuk ke Muzdalifah agak mencabar. Maklumlah seharian kepanasan bas pula datang satu pergi sehingga sudah tiada orang di kawasan kami barulah bas kami datang.
Ku dengar ada seorang jemaah lelaki meninggal akibat kepanasan melampau siang tadi.Itu sudah ajalnya kata hatiku. Perjalanan dalam bas menuju Muzdalifah ini ku rasa lebih mencabar sebab sikap pemandu bas, aku rasa mereka semakin akibat jalan semakin sesak. Mereka bergaduh sesama mereka walaupun dalam bas berasingan.
Kami sampai ke Muzdalifah pun agaknya sudah lewat aku rasa dalam jam 3 ke 4 pagi sebab orang sudah sesak dan tiada tempat untuk kami duduk berehat dan kutip batu. Yang paling terdesak tempatnya kami terpaksa tidur berhadapan dengan tandas awam dimana setiap masa manusia keluar masuk. Kasihan pada adikku sebab itu tandas awam kaum perempuan. Kalau dibandingkan dengan keadaan mengantuk dan keletihan teramat apalah makna keadaan itu semua. Maka terlelaplah kami berdua dicelah-celah manusia lain sementara menunggu pagi. Bagiku lebih dekat tandas lebih senang kerana menukar tuala wanitaku.
Yang aku perasan kawasan ini macam bekas ladang unta atau kambing sebab ada bau-bau seperti itu walaupun bau tandas lebih kuat. Dalam masa beberapa jam aku mabit di sini paling kerap bunyi siren ambulan. Nampaknya ramai jemaah yang jatuh sakit semasa di sini atau mungkin lanjutan dari berhimpun di Arafah. Aku bersyukur kerana Allah masih memberi kesihatan dan kekuatan di sini.
Sesampai di Mina hari sudah menjelang pukul 10pagi. Aku pun menuju ke khemahku seperti yang diberi pada kad tanda nama kami. Agak sukar untuk mencarinya. Keadaan di perkhemahan ini macam pasar tani dengan ruang-ruang yang terhad dan mereka melabelkan lorong-lorong antara khemah dengan nama sayur-sayuran seperti tomato, kobis, bayam dan macam-macam lagi. Sedang aku mula untuk merebahkan badan menghilangkan keletihan ku lihat di hadapanku(kerana khemah ni lebih luas saujana mata memandang tapi lebih sesak berbanding di Arafah) dua kumpulan jemaah sedang berusaha untuk memberi bantuan kecemasan. Rupa-rupanya salah seorang sudah lebih 60 tahun alami sesak nafas dan seorang lagi masih muda juga sesak nafas akibat kelelahan menjaga ibunya yang sudah uzur sepanjang perjalanan tadi.
Kedua-dua mereka dihantar ke Klinik sementara di perkhemahan ini. Jemaah berusia lebih 60 tahun itu akhirnya meninggal di Hospital King Aziz setelah berada di sana selama sebulan.
Kami hanya mula melontar jamrah Aqabah setelah lewat petang. Ini atas arahan pihak Tabung Haji untuk mengelakkan kesesakan. Lagipun kami di antara kumpulan yang paling lewat sampai ke Mina. Perlu lebih masa untuk rehat sebelum berjalan kaki untuk melontar pula.
No comments:
Post a Comment