Friday, October 12, 2012

Selepas Hari-Hari Tasyrik

Di dalam bas semasa perjalanan pulang ke Mekah, akupun bercerita dengan rakan sebelah, salah satu topik ialah mengenai sepasang suami isteri yang dibawa oleh seorang perempuan yang cantik ke suatu tempat yang mereka sendiri tidak tahu dimana. Selepas berada di situ untuk beberapa ketika mereka pun dihantar semula ke khemah Mina. Selepas beberapa km, kami pun terlena keletihan di dalam bas. Cuaca agak panas dan waktu sudah menghampiri tengahari, sebaik menghampiri Hotel Marwah Al Naqa, pemandu bas kami yang nampaknya sangat haus pun membrhentikan basnya di tepi jalan berhampiran Hotel Hariri. Yang kelakarnya, dia haus tak mengapa, tetapi kami penumpang-penumpang dibiarkan kepanasan setelah enjin bas dimatikan, katanya dia nak jimat minyak petrol. Semasa ini juga sebenarnya para jemaah sedang diduga oleh ALlah, janganlah kita hendak berlagak macam bos di Tanah Haram ini. Kalau dilihat sekali pandang, pemandu bas itupun memang masih muda, akhir remajalah katakan. Fikiran pun belum matang dia buat apa yang dia rasa betul sajalah. Kita para jemaah yang dah dekat separuh dekad kena banyak-banyak bersabar janganlah nak melenting.
Selepas memandu beberapa ketika dan jalan berhampiran hotel kami itu kebanyakan masa memang agak sesak, dia membuat keputusan untuk tinggalkan di tepi jalan yang masuk ke Jalan Umar Al Khattab. Mujurlah Allah mengingatkanku tempat itu sebenarnya aku pernah berjalan-jalan bersama adikku. Lantas tanpa berfikir panjang kami pun turun dari bas dan mengikut jalan pintas yang kami sudah biasa. Kami dikira tiba ke hotel di antara yang terawal, seronok bukan apa dapat masuk bilik air dahulu,  keperluan hajat dapat ditunaikan dengan cepat yang di Mina terpaksa banyak bertahan. Hari-hari berikutnya bagiku agak kurang selesa maklumlah sebelum ini aku boleh dan sibuk bersolat disamping membuat sedikit beli-belah. Aku hanya dapat bertawaf haji pada hari ke 4 selepas hari-hari Tasyrik. Alhamdulillah haid ku kering dengan sempurnanya. Kena betul-betul kering, ibadat haji bukan macam sembahyang, tidak kering mandi lagi sekali. Sebaik-baiknya walaupun sudah kering kena tunggu lagi 24 jam untuk kepastian. Kebiasaan tempoh haid ku 7 hari, aku lebihkan jadi 8 hari untuk kepastian. Masa nak menunaikan tawaf kebetulan si Nurun rakan sebilikku yang buat haji Ifrad pun belum boleh tawaf, ini disebabkan suaminya sejak pulang dari Mina mengalami demam panas, cuma dia tak sampai masuk wad dan kami pun pergi bersama. Adikku yang sudah selesai hajinya menjadi juru iring kami. Bukan apa takut-takut suaminya pening lagi sebab demamnya belum baik betul, dapatlah adikku membantunya. Inilah barakahnya berada di Mekah bila dapat menolong orang hati rasa begitu gembira sekali, mungkin sebab pahala berlipat ganda yang Allah anugerahkan, Ameen!

No comments:

Post a Comment