Thursday, November 21, 2013

Suasana wad 6c Dua Hari Berikutnya

Ku lihat suami sedang menunggu di depan sambil menunjukkan rasa kesyukuran aku telah selamat keluar dari dewan bedah. Jam sudah melewati pukul 7 mlm jadi sebelum dia pulang dia menanyakan ada apa-apa untuk dibawa keesokan hari masa dia datang. Aku masih dalam keadaan lemah mingkin penangan ubat bius(GA) dan tidak dapat fokus pada masa itu. Yang aku ingat makan petang kuberi suami bawa pulang, 2 ketul rendang ayam, 1 ketul diberi oleh Ms Wong yang tidak berapa gemar masakan melayu.
Keesokan pagi, ku dengar tangisan Ms Chan menahan kesakitan, ubat bius sebelum ini telah habis aku rasa. Sementara menunggu ubat bius tambahan dan aku pun menjadi terharu, semacam hendak menangis juga rasanya.Tambahan pula Selvi yang sebelum itu ceria, juga meraung selepas keluar dari bilik bedah menahan kesakitan. Malam itu suasana dalam wad suram. Kedengaran bunyi bising alat yang menyalurkan antibiotik ke badan Ms Chan.
Kelihatan kakiku dibalut begitu comel sekali ibarat bayi yang baru lahir. Plastik kecil berwarna kuning itu dipasang pada K-wire untuk mengelakkan K-wire tersangkut sewaktu kakiku bergerak.
Aku kuatkan semangat dengan diam sahaja tidaklah mahu memujuk mahupun marah kerana kesakitanku tidak sehebat kesakitan mereka.Begitulah keadaannya kalau kebanyakan pesakit dibedah dalam hari sama. Satu masalah lagi ialah hendak buang air, terpaksalah jururawat kerap menghantar dan mengambil potty maklumlah kata hanya ada 3 sahaja untuk wad ini. Aku terpaksa guna potty untuk 2 hari sejak selepas pembedahan, takut hendak guna tongkat, tidak mahir lagi. Selepas itu aku guna kerusi wad dan heret kerusi tersebut sambil aku duduk dengan kaki kanan sebagai penggerak. Bukan apa aku tiada pembantu seperti rakan-rakanku yang lain. Nasiblah kerusi itu tidak besar sangat untuk diheret.
Keesokan harinya Mr Azam pun muncul, selepas rondaan pegawai perubatan. Beliau menghampiriku dan melihat keadaan balutan pada kakiku. Ku beritahunya yang balutan itu terasa terlalu ketat lalu beliau memberitahu keadaan bengkak yang menyebabkan demikian. Beliau tolong bukakan balutan untukku dan meminta jururawat membalutkan semula. Setelah diberitahu kepada MO(Medical Officer) yang biasa keluar masuk wad,Mr Azam yang bukakan balutanku, mereka pun rasa hairan kerana menurut mereka Pakar tidak akan lakukan kerja-kerja seperti itu lalu aku pun terasa kebingungan apa salahnya kalau dia hendak buat. Atau adakah mereka hendak cemburu pada perempuan lewat usia seprti aku? Tentu tidak logik.
 Yang  logik adalah komen dari suamiku mengatakan aku ini nampak macam pet Mr Azam. Ya lah aku boleh terima sebab beliau berbadan besar, cara layannya itu memang lain sedikit berbanding dengan pesakit lain terutama selepas pembedahan ini. Mungkin pembedahan yang dirancangnya berjalan dengan memuaskan dan segala rekod aku sebagai pesakitnya menjadi satu harta intelek peribadinya. Kalau benar aku pun tumpang gembira dapat meningkatkan kerjaya anak muda yang gigih dan bersemngat waja.

No comments:

Post a Comment