Monday, November 18, 2013

Suasana kehidupan di Wad Orthopedik

Hatiku menjadi gundah gulana tambahan pula bila kulihat rakan-rakan sebilikku ini menghidapai sakit tulang yang kritikal (Kow-kow punya).
Wong, seorang wanita belum berkahwin jatuh di bahu jalan akibat terpijak lubang, tulang betis nya patah. Ku lihat kakinya terpaksa diikat ke tiang katil untuk mengelakkan tulang yang patah itu bergoyang. Dia beritahu yang sudah 2 hari terlantar di katil menunggu untuk di jadualkan pembedahannya. Menurutnya doktor sedang bincang kaedah terbaik untuk menyambung semula tulangnya.Penggunaan besi dan saiz yang sesuai , keadaan kesihatan Wong yang berusia perlu dikaji terlebih dahulu.Tambahan pula dia dimasukkan ke wad pada malam Ahad, tentulah kebanyakan doktor sedang bercuti. Yang penting rawatan kecemasan sudah diberi. Terseksa juga aku tengok dia tidak dapat bergerak perlu banyak bantuan jururawat dan orang di sekelilingnya termasuk aku. Sungguhpun begitu dia banyak memberi maklumat ubat-ubatan kerana dia bekerja pembantu doktor di sebuah klinik di Taman Kepong.
Chan pula seorang suri rumah yang sudah mempunyai seorang cucu, mengalami masalah radang tulang(RA) sejak berumur 20an. Dia telah menjalani pembedahan mengganti tulang palsu pada pergelangan paha pada masa itu (Hip Anthroplasty). Tulang palsu(dibuat dari plastik khas) tersebut sudah menghaus menyebabkan dia rasa sakit dan perlu diganti dengan yang baru. manakala Thamil Selvi pula seorang tukang sapu di Alam Flora mengalami masalah lebihan tulang pada tapak kaki (bone spur) perlu dikikis keluar sahaja.
Kami bertiga dijadualkan menjalani pembedahan pada 1hb Oktober iaitu keesokannya. Apa lagi seharian sebelum itu kami berempat buatlah cerita tingkap sebab masing-masing tidak boleh bergerak sudah dipasang drip oleh Hospital Officer(HO). Si Selve lagaknya suka ketawa walaupun dia tidak dilayan dengan baik oleh HO maklumlah budak-budak muda. Mungkin sebab itu juga nampak lebih muda dari usianya.Chan pula tidak fasih berbahasa malaysia, nasiblah ada Wong untuk terjemahkannya. Suami Chan sentiasa di sisinya. Dia bekerja menoreh getah mengambil cuti seminggu menemani isterinya di wad  dan selaku penterjemah untuk isterinya sekiranya doktor ingin memberitahu sesuatu.Ada lagi rakyat Malaysia yang masih tidak tahu cakap Bahasa Malaysia walaupun di usia 40an. Kalau warga emas itu lain ceritalah.
Chan yang mula-mula masuk ke dewan bedah, sebelah tengahari adalah aku dan Selvi pula masuk pada pukul 5 petang. Bagiku aku banyakkan beristigfar kepada Allah muga dipermudahkan, Ameen!

No comments:

Post a Comment