Monday, November 18, 2013

Suasana kehidupan di Wad Orthopedik

Hatiku menjadi gundah gulana tambahan pula bila kulihat rakan-rakan sebilikku ini menghidapai sakit tulang yang kritikal (Kow-kow punya).
Wong, seorang wanita belum berkahwin jatuh di bahu jalan akibat terpijak lubang, tulang betis nya patah. Ku lihat kakinya terpaksa diikat ke tiang katil untuk mengelakkan tulang yang patah itu bergoyang. Dia beritahu yang sudah 2 hari terlantar di katil menunggu untuk di jadualkan pembedahannya. Menurutnya doktor sedang bincang kaedah terbaik untuk menyambung semula tulangnya.Penggunaan besi dan saiz yang sesuai , keadaan kesihatan Wong yang berusia perlu dikaji terlebih dahulu.Tambahan pula dia dimasukkan ke wad pada malam Ahad, tentulah kebanyakan doktor sedang bercuti. Yang penting rawatan kecemasan sudah diberi. Terseksa juga aku tengok dia tidak dapat bergerak perlu banyak bantuan jururawat dan orang di sekelilingnya termasuk aku. Sungguhpun begitu dia banyak memberi maklumat ubat-ubatan kerana dia bekerja pembantu doktor di sebuah klinik di Taman Kepong.
Chan pula seorang suri rumah yang sudah mempunyai seorang cucu, mengalami masalah radang tulang(RA) sejak berumur 20an. Dia telah menjalani pembedahan mengganti tulang palsu pada pergelangan paha pada masa itu (Hip Anthroplasty). Tulang palsu(dibuat dari plastik khas) tersebut sudah menghaus menyebabkan dia rasa sakit dan perlu diganti dengan yang baru. manakala Thamil Selvi pula seorang tukang sapu di Alam Flora mengalami masalah lebihan tulang pada tapak kaki (bone spur) perlu dikikis keluar sahaja.
Kami bertiga dijadualkan menjalani pembedahan pada 1hb Oktober iaitu keesokannya. Apa lagi seharian sebelum itu kami berempat buatlah cerita tingkap sebab masing-masing tidak boleh bergerak sudah dipasang drip oleh Hospital Officer(HO). Si Selve lagaknya suka ketawa walaupun dia tidak dilayan dengan baik oleh HO maklumlah budak-budak muda. Mungkin sebab itu juga nampak lebih muda dari usianya.Chan pula tidak fasih berbahasa malaysia, nasiblah ada Wong untuk terjemahkannya. Suami Chan sentiasa di sisinya. Dia bekerja menoreh getah mengambil cuti seminggu menemani isterinya di wad  dan selaku penterjemah untuk isterinya sekiranya doktor ingin memberitahu sesuatu.Ada lagi rakyat Malaysia yang masih tidak tahu cakap Bahasa Malaysia walaupun di usia 40an. Kalau warga emas itu lain ceritalah.
Chan yang mula-mula masuk ke dewan bedah, sebelah tengahari adalah aku dan Selvi pula masuk pada pukul 5 petang. Bagiku aku banyakkan beristigfar kepada Allah muga dipermudahkan, Ameen!

Saturday, November 16, 2013

Tarikh Masuk Wad 30 Sept 2013



Hari Isnin, tanggal 30 September 2013, merupakan tarik keramat dimana aku ditemani suamin tersayang menuju ke hotel 3 bintang (foto di atas)yang kira-kira 10 minit dari rumahku. Pagi itu hujan baru sahaja berlalu, cuaca menjadi lebih sejuk dari biasa. Dengan keadaan tenang, jam masig belum pukul 8 pagi, suami mengajak ke Kafeteria Hospital. Aku makan mee goreng bersama teh tarik. Kebetulan jiran sebelah rumah yang selalu membuat fisioterapi juga ada di Kafeteria tersebut.Suami memberitahunya mengenai pembedahanku esok.
Jam sudah melewati 8.15pagi, kami menuju ke bahagian pendaftaran untuk kemasukan wad. Agak lama juga kami di situ, menunggu arahan dari wad sebab ingatkan dapat masuk wad kelas satu. GL suamiku memang layak untuk kelas satu tetapi untuk disiplin ortho, aku perlu duduk wad 6C  (kelas 2dan 3di tingkat 6). Ini memandangkan kelas 1 di tingkat 9, sukar untuk doktor melawat aku di sana bagi disiplin yang paling banyak bilangan pesakit dalam wad berbanding dengan disiplin lain.Kekangan masa menjadi masalah utama.
Aku dan suami menuju ke wad 6C, katil no 8, berhampiran dengan pintu masuk sahaja. Jururawat bertugas berkenaan pun segera menyuruh aku menukar pakaian seragam pesakit dalam wad dan memberi penerangan mengenai wad berkenaan. Kami pun diberitahu yang kebiasaanya setiap pagi ada sekumpulan pegawai perubatan akan membuat rondaan. Seorang pakar yang senior akan meninjau setiap pesakit sambil memberi penjelasan terutama kepada pegawa-pegawai perubatan yang kurang pengalaman dan pendedahan mengenai setiap pesakit. Jadi akupun kena segera tukar pakaianku dan suami pun pulang.
Bermulalah aku tinggal di wad bersama 3 orang rakan sebilik, seorang berbangsa India dan 2 orang berbangsa Cina. Thamil Selvi 50 tahun dan Ms Wong Ling Ling 59 tahun masing dari Jinjang dan Taman Maluri, Kepong. Ms Chan Kim Hong 46 tahun dari Rasa. Akan ku ceritakan pengalamanku bersama dalam entri berikutnya.



Thursday, November 14, 2013

Detik-Detik Hampirnya Dengan Tarikh Procedur

Semasa menjalani ibadah berpuasa Ramadhan 2013, aku kerapkali juga membuat sembahyang istikharah.
Memohon petunjuk dari Allah samada tindakan aku ini adalah pilihan terbaik. Seandainya yang terbaik permudahkanlah segala proses yang terlibat. Ini kerana tindakan ku ini juga banyak melibatkan orang sekelilingku baik suami, anak, rakan di tempat kerja dan sanak-saudara terdekat.
Aidil Fitri tahun ini juga aku tidak banyak pergi berziarah walaupun kami balik kampung. Banyak masa kami habiskan dengan berehat di rumah ibuku. Mungkin banyak kesan dari kesakitan kakiku juga. Tarikh untukku masuk wad ialah hari yang ke 20 Syawal, bermaksud selepas kembali dalam 2 minggu sahaja. Namun selepas seminggu bekerja, aku menerima panggilan doktor dari Hospital Selayang memberitahu yang tarikhku terpaksa ditunda ke 19 Sept.atas alasan terlalu banyak kes pembedahan kecemasan. Perasaan takutku menjadi kurang sedikit memandangkan kerjaku yang banyak dapatku siapkan dulu.
Dalam pada itu aku juga dapat melibatkan diriku dengan walimatul urus anak-anak buahku yang akan berlansung pada 14 Sept. Dengan keadaan kerja yang banyak aku menjadi tertekan terpaksa pergi lewat untuk menolong sedikit sebanyak persediaan majlis kendurinya.Selesai majlis perkahwinan adik aku ula demam selsema mungkin berpunca dari cuaca tidak menentu dan tidur pun selalu lewat. Aku ambil cuti sakit pada 17 Sept. dalam fikiranku mungkin kali ini terpaksa ditunda lagi dengan keadaan aku yang tidak sihat. Semasa aku berbaring di bilik tidurku, talipon berdering lantas aku menjawab antara sedar dengan tidak, rupa-rupanya dari Hospital Selayang lagi.
Seorang doktor wanita memberitahu bahawa tarikh terpaksa ditunda lagi ke 30 Sept. kali ini tarikh 19 Sept tu Mr Azam terpaksa menghadiri mesyuarat di HKL. Walaubagaimanapun beliau inginku datang ke Hospital Selayang pada 18 Sept. Aku rasa bersyukur kerana aku memang tidak sihat dan kesihatanku pun pulih sedikit pada hari berikutnya tambahan pula suamiku memang sudah mengambil cuti untuk menghantarku ke hospital. Rupa-rupanya beliau ingin memberitahu yang selepas berbincang dengan Mr Idham, didapati skrew yang lebih kecil dan kuat iaitu skrew titanium perlu digunakan untuk saiz tulangku yang kecil itu. Skrew titanium ini perlu sendiri dibeli oleh pesakit dan hospital tidak membekalkan memandangkan kosnya yang sangat mahal. Aku perlukan 3skrew yang bersaiz 3 ke 5mm untuk procedur ini. Aku bayangkan yang aku membeli barang kemas yang aku bukan pakai untuk berhias tetapi untuk kesihatan. Kos 3 skrew itu ialah RM2100, berbaloi ke tidak...Allah lebih mengetahui kerana semua ini dariNya yang Maha Esa.

Wednesday, November 13, 2013

Sedikit Info Berkaitan Prosedur Scarf Osteotomy With Release Digitirium of 2nd Left Toe




Antara foto-foto dan grafik yang dapat digambarkan mengenai prosedur berkenaan.
Nampak senang tetapi perlu ketelitian memandangkan ada beratus-ratus prosedur yang boleh digunakan.
Pakar berkenaan mesti kaji prosedur yang paling berkesan untuk mengelakkan keadaan jari bengkok dan bonion dari berulang lagi. Bagiku yang terpenting ialah supaya kesakitan tidak ada lagi kualiti hidup tidak terjejas. Kita perlu berusaha bertanggung-jawab atas kurniaan anggota badan yang sempurna yang Allah berikan kepada kita. WallahuAlam!

Tuesday, November 12, 2013

Temujanji Seterusnya Dan Perbincangan Mengenai Pembedahan Mini Invasif

Pada temujanj 15 May itu juga, Mr Sidek memperkenalkan aku dengan rakan sejawatnya, Mr Azamuddin.
Beliau memberitahu yang pembedahan ini akan diserahkan kepada Mr Azam. Ini kerana Mr Azam lebih pakar bahagian kaki(Foot and Ankle/Orthopaedic Surgeon) manakala beliau adalah bahagian paha, lutut dan  
betis. Di atas adalah gambaran sedikit sebanyak kaki kiriku. Setakat bengkok pada ibu jari dan ada hammer toe tidak ku ambil kisah, pergerakan ku juga agak terbatas, aku hanya boleh berjalan selama 10 minit, jika lebih dari itu sakitnya menjadi tidak tertahan. Menurut Mr Azam, keadaan itu berlaku disebabkan urat saraf berdekatan tulang kaki yang bengkok berada dalam tekanan(stress). Beliau mencari kaedah pembedahan terbaik dan berkesan lalu mengambil foto kaki ku yang cantik itu. Katanya dia akan bebrincang dengan rakan sejawatnya di Hospital Putrajaya, iaitu Mr Idham.
Temujanji baru dibuat sebelum tarikh pembedahan iaitu pada 17 Julai 2013, minggu pertama bulan Ramadhan. Aku menjadi semakin risau dan takut. Ku luahkan pada Mr Sidek, beliau memujuk dan memberitahu ku bahawa pembedahan ini adalah Mini Invasif (Tidak besar bukaannya - 4 ke 5cm shj).
Sangat rendah risikonya kecuali bagi orang yang ada kencing manis.
Mr Azam pun muncul lalu memberitahu mengenai jenis pembedahan yang akan dilakukan. Namanya ialah
Scarf Osteotomy with Release of PIP at 2nd Toe. Maknanya walaupun mini invasif tetapi ada 3 potongan dibuat. K-wire juga akan dimasukkan ke anak jari yang ada Hammer toe untuk meluruskan anak jari yang sudah bengkok( pada foto di atas anak jari kedua masih ok lagi). Kemungkinan 3 ke 4 skrew akan digunakan untuk membetulkan ibu jari ku disamping membuang sedikit tulang yang terbonjol(bonion).

Kehidupanku Selepas kembali Dari menunaikan Fardhu Haji

Alhamdulillah! Alah telah memberi peluang kepadaku untuk menunaikan rukun Islam yang ke 5 dengan begitu lancar sekali. Namun itu tidak bermakna aku tidak diuji. Mungkin ujian yang ku terima di sana tidak ku rasai sangat dengan istiqamah dan reda atas segalanya walaupun sebelum kami berlepas pulang ke Malaysia, pesawat yang kami naiki mengalami kegagalan enjin dan kami terpaksa bermalam di hotl 5 bintang di Jeddah. Redhaku sematkan dengan menikmati sepenuhnya di hotel secanggih itu dan merasakan Allah mahukan aku tinggal sehari lagi. Segala bebanan sepanjang perjalanan kami dibawa ke hotel kerana memakan masa 1 jam juga tidak kami rasai. Redha tubillahi Rabba!
Setahun kemudian iaitu selepas Aidul Adha 2012, selepas menyediakan sarapan pagi dan mandi, aku berbaring sekejap di atas katil. Tidak semena-mena kaki kiri tidak dapat berpijak dan aku terkejut lalu memanggil anakku yang kebetulan berada di ruang tamu. Aku tidak dapat berdiri. Anakku ada sedikit ilmu melalui Persatuan Bulan Sabit Merah lalu menyediakan sebaldi air panas. Lebih kurang 2jam juga ku rendamkan kaki ke dalam air suam, barulah aku dapat berpijak. Namun begitu cara berjalanku sudah tidak betul. Aku terasa lututku sangat sakit dan terus juga ke tempat kerja walaupun setengah hari sahaja.
Hatiku mula bimbang, doktor klinik panel, setelah mendengar insiden yang berlaku terus beri surat rujukan untukku ajukan ke Hospital. Dengan pertolongan birasku yang bekerja Sister di Hospital Selayang, Mr Sidek (Pakar Ortopedik) memberitahukan untuk berjumpanya di Kilink Pakar pada 26 dec 2012. Temujanji dibuat jam 11 pagi iaitu selepas urusan pesakit ulangan selesai. Setelah mendengar ceritaku beliau mengarahkan untuk di Xray kakiku dan membuat Xray lagi sekali sebelum berjumpanya semula pada 6 Feb 2013. Aku juga diberi ubat tahan sakit, diarah menjalani fisioterapi dan disaran untuk makan Glusomin iaitu vitamin tulang. Sejak kaki kiriku sakit aku tidak dapat solat berdiri.  Setelah menjalani 2 sesi fisioterapi dan memakan vitamin tulang, aku sudah boleh solat berdiri tetapi tahiyatku kaki kiri arah berlainan.
Temujanji seterusnya ialah 15May 2013. Akupun tidak mengamati sangat keadaan kakiku yang aku tahu sakitku masih terasa. Tidak sama dengan seorang pakar Ortopedik seperti Mr Sidek, beliau amat terkejut melihat keadaan kaki kiriku yang ibujarinya yang semakin membengkok. Sebelum itu aku dengar beliau memberitahu 3 orang pelajar perubatan UITM yang seedang berdiri di dalam kliniknya yang keadaan kaki kiriku ini telah  ada istilah perubatan yang dinamakan Hallux Valgus. Aku akan paparkan imejnya melalui entri yang akan datang.
Yang menakutkan aku ialah Mr Sidek terus membuat booking tarikh supaya pembedahan dapat dilakukan secepat mungkin. Itupun tarikh yang dapat dibuat ialah 27 Ogos 2013.


Saturday, December 15, 2012

Lawatan Sekitar Kota Mekah

Waktu-waktu selepas haji inilah kami banyakkan masa terluang membeli barang-barang untuk dibawa pulang sebagai buah tangan untuk sahabat handai.  Kami berjalan untuk membeli gelang tangan untuk anak buahku yang perempuan menuju ke sebelah utara Jalan Ummar Al Khattab, iaitu Timur Laut Masjidil Haram.
Aku kurang arif pula nama jalan itu, kalau di KL sinonim keadaannya dengan Jalan TAR. Rupa-rupanya ada sebuah masjid dijalan itu, masjid Jin namanya. Mengikut sejarah sekumpulan jin berbaiah dengan Baginda Rasulullah di situ. Peristiwa itu berlaku selepas Baginda Rasulullah menghadapi masa-masa kesedihan beliau selepas kembali dari Taif. Semasa di Taif , baginda dilontar dengan batu oleh penduduk Taif termasuk juga kanak-kanak, sehingga berdarah kaki beliau dalam misi baginda untuk berdakwah.
Kalau kita berada di jalan yang terdapat masjid Jin itu, untuk ke Taif kita akan naik ram ke lebuhraya ke arah timur. InsyaAllah! sedikit sebanyak sudah kenal kedudukan tempat di sekitar Kota Mekah. Walau pertama kali sampai ke Mekah ini dan tinggal di Hotel kecil yang tidak banyak menerangkan infomasi mengenai tempat di sekitar Kota Mekah dan juga tidak banyak mengikut lawatan rombongan menaiki bas yang disediakan bolehlah juga aku faham. Salah satu sebab ialah aku memiliki sebuah buku yang menerangkan tempat-tempat bersejarah yang berada di Mekah Al Mukarramah.
Masjid Jin ini tidak begitu besar seperti juga masjid-masjid yang lain yang berada di sekitar Kota Mekah.
Yang bersebelahan dengan tempat aku tinggal itu namanya Masjid Pakistan. Boleh kata masjid di sana sama dengan surau untuk kita di Malaysia, yang bezanya masjid di sana ada menara.
Selepas umrah pertama dengan si Nurun, aku dan adikku buat lagi 2 kali umrah yang bermikat di Tanaeem.
Kedua-dua kali itu kami pergi menaiki van yang disewa beramai-ramai, yang dikenakan bayaran 4Rial pergi dan balik.Selepas dari itu aku berniat umrah di Hudaibiyah semasa kami buat lawatan untuk ke beberapa tempat iaitu ladang unta, Muzium Tamaddun Islam- kelambu lama, pancur emas lama, alat pengorek untuk mengabil air zam-zam dan berbagai-bagai artifek lagi.
Bagiku kawasan-kawasan di sebelah Safa belum sempat aku terokai, kawasan di sana di katakan sudah dimajukan. Aku lebih suka jika Kota Mekah tidak dibuat terlalu banyak pembangunan sehingga umat masa akan datang sudah tidak dapat menghayati kesan sejarah masa lampau. Walaupun aku dilahirkan di Malaysia, hati kecilku selalu berkata Mekah ini adalah tempat asalku bukannya Malaysia. Entah Kenapa?