Friday, September 19, 2014

Lembaran Sebuah Kehidupan

Sudah agak lama aku tidak berblog. Kesuntukan masa merupakan kekangan utama bagi diriku buat masa ini. Maklumlah musim cuti sekolah banyak juga majlis walimatul urus harus ku penuhi, Bagi diriku yang sudah separuh abad, tidak perlu tergesa-gesa untuk menguruskan rutin harian seperti mengemas rumah. Aku hanya lakukan mana yang termampu. Hubungan sesama insan itu yang utama.
Kehidupan sebenar manusia sebenarnya terletak dalam diri manusia itu sendiri, iaitu roh. Kita memiliki jasad sebagai bentuk dan roh adalah  sebagai isi di dalamnya. "Allah memegang nyawa seseorang pada saat kematiannya dan nyawa seseorang yang belum mati ketika ia sedang tidur. Maka Dia tahan nyawa orang yang telah Dia tetapkan kematiannya dan Dia lepaskan nyawa yang lain sampai waktu yang ditetapkan." (Al-Zumar 39:42)
Seterusnya roh menetap di alam barzakh untuk mengecap kebahagiaan atau merasakan hukuman seksa sehingga tiba Hari Kebangkitan.
Dalam masa kita masih berada di alam dunia ini, Allah menganugerahkan kita rezeki dalam berbagai-bagai bentuk termasuklah keluarga bahagia, kesihatan dan kemudahan dalam segala urusan. Keberkatan rezeki itulah yang menjadi keutamaan.

Berikut adalah 4 peluang untuk menggandakan rezeki yang kita boleh lakukan terutamanya di tempat kerja:
1.Menjalinkan hubungan Silaturrahim - ' Sesiapa yang ingin dilapangkan rezeki dan dilambatkan ajal maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.' - (Riwayat Bukhari). Elakkan dari politik pejabat, gosip, mengadu domba dan sebagainya yang berlaku yang membawa kepada permusuhan
2.Memberi untuk Menerima - Sikap murah hati dengan rakan sekerja boleh menyuburkan rezeki. Fitrahnya kita akan menerima kembali perkara yang kita beri. Pemberian boleh kita lakukan dalam bentuk hadiah, sedekah dan seumpamanya.
3.Menunaikan Hajat - Semua manusia berhajat akan sesuatu. Walaupun begitu tidak semua hajat kita dapat dilaksanakan sendirian. Kadangkala kita perlu bantuan orang lain. Oleh itu marilah kita menanamkan azam untuk menjadi orang yang selalu menunaikan hajat seseorang. Peluang dari segi ini bagiku terbuka luas kerana syarikat tempat ku bekerja biasanya terdapat ramai kakitangan yang tidak berpengalaman dan memerlukan tunjuk ajar dari orang sepertiku. Aku harap aku dapat memenuhi hajat majikan ku dari segi ini.
4. Menolong Yang Lemah - Pertolongan yang paling baik ialah pertolongan kepada orang yang lemah. Mungkin dengan pertolongan kita selesai masalah besar dalam hidup mereka.
' Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang lemah dalam kalangan kamu.'(Riwayat Bukhari) Hulurkan bantuan dengan ikhlas hanya mengharapkan keredhaan Allah.

No comments:

Post a Comment