Musim Haji sudah tiba, bila melihat bakal-bakal haji di kaca televisyen, mengimbau kembali kenangan-kenangan manisku sewaktu di sana 3 tahun lalu. Anjuranku kepada sesiapa yang akan mengerjakan haji supaya keberadaan di sana terutamanya sewaktu bersembahyang jemaah di Masjidil Haram duduk di sebelah jemaahdari negara lain. Kita akan terasa satu ikatan ukhwah yang sangat rapat walaupun kita tidak memahami bahasa pertuturan mereka.
Inilah yang selalu aku lakukan sehingga pada suatu pagi selepas selesai solat berjemaah suboh di Masjidil Haram. Aku masih duduk dengan niat untuk membaca Al Quran, tiba-tiba aku disapa seorang wanita Pakistan. Dengan bahasa isyarat wanita itu merujuk pada sepotong ayat dari surah Ibrahim yang aku sedang baca kemudian mengajak aku menghampiri seorang rakannya. Beliau memberitahu secara isyarat juga bahawa rakannya ingin mendapat zuriat lalu meminta aku membaca surah itu dan mengelilingi rakannya. Aku tidak banyak soal terus menurut sahaja dengan niat untuk membantu di tempat suci ini lagipun hanya sebuah doa. Selepas itu mereka pun mengucapkan terima kasih biasalah bahasa itik dan ayam dan aku pun beredar untuk pulang ke hotel bersarapan pagi.
Kira-kira jam 2 pagi, selesai mengerjakan umrah sunat aku dan adikku pergi semula ke Masjidil Haram. Menurut rakan-rakannya waktu-waktu begini jemaah tidaklah terlalu ramai, mungkin senang untuk mengucup Hajaratul Aswad lagipun pada masa itu ramai jemaah haji telah pulang ke negara masing-masing. Kami pun mengharungi kesesakan jemaah yang kami rasa tidaklah begitu teruk. Awal-awal aku dah mengalah dan membiarkan adikku menghampiri dinding kaabah itu bersama-sama jemaah lelaki yang lain. Dalam masa bersesak-sesak itu aku dipeluk erat-erat oleh seorang jemaah perempuan Bangladesh yang agak sama tingginya dengan aku. Wanita itu sambil menangis menyatakan sesuatu kepadaku yang aku tidak faham. Pun begitu aku hanya mengangguk tanda faham untuk mengurangkan kesedihannya. Aku rasa dia minta aku sama-sama berdoa supaya kesusahan hidupnya dapat diatasi. Agak lama juga kami berpelukan berhampiran multazam itu dan selepas itu aku terus hanyut di dalam kesesakan jemaah yang ada. Dengan izin Allah juga selepas itu aku dapat masuk ke Hijr Ismail dengan senang dan bersembahyang di bawah pancur emas.
Perjalanan kami menuju ke Madinah menaiki bas iaitu pada waktu selepas solat zuhur. Selesai tawaf wadak, setiap jemaah dipastikan ada dengan memanggil nama mereka oleh Mutawif di dalam bas. Bas yang kami naiki dipandu agak perlahan. Setelah kira-kira 2 jam perjalanan aku rasakan yang bas tiba-tiba berhenti. Pemandu bas itu mengadu dalam bahasa Arab yang ada masalah pada enjin bas. Berdasarkan beberapa jemaah yang berpengalaman, pemandu bas ini mengharapkan barakat iaitu sedekah yang berupa wang dari para jemaah. Kami pun menghulurkan wang seberapa yang ada dan pemandu itupun meneruskan perjalanan. Sampai di kawasan rehat pertama di lebuhraya itu hari pun sudah pukul 8 malam. Kami pun membeli nasi Arab yang dijual di kawasan rehat tersebut. Yang menjadi keseronakan kami, pada waktu sama, ada beberapa bas lain dari Pakistan berhenti berhampiran kami. Jemaah Pakistan ini pun menurunkan periuk nasi yang agak besar. Aroma nasi yang dimasak sangat menggiurkan kami. Salah seorang rakan meminta sedikit dengan menghulurkan pinggan kepada mereka. Wow! sedapnya nasi mereka, masih panas dan di campur dengan beberapa bahan rempah yang tidak perlukan lauk tambahan.
Sudahlah dapat rasa nasi orang, dapat pula mengeratkan tali persaudaraan sesama Islam. Seronoknya!
No comments:
Post a Comment