Sunday, August 3, 2014

Eidul Fitri Yang Penuh Makna

Hampir seminggu berlalu, Aidil Fitri tahun ini sangat bermakna dalam hidup kami sekeluarga. Sesuai dengan masanya adikku Ina yang telah sekian lama menghilang diri pada Hari Raya tahun ini tiba-tiba datang menemui kami bersama dengan 3 orang anak-anaknya.
Ina adikku yang ke 3 selepas sikembar. Malangnya dia diambil sebagai anak angkat oleh keluarga Pak Long kerana mereka tidak mempunyai zuriat perempuan. Masih tergambar di fikiranku sewaktu mereka mendukung adikku ini masuk ke dalam kereta, rasanya mahu ku rampas kembali apa daya aku anak kecil berusia 4 tahun pada masa itu. Sepanjang dia menjadi anak angkat Pak Longku kami tidak digalak berkunjung ke rumahnya walaupun Pak Long adalah abang kepada bapaku. Namun begitu Allah Maha Kuasa, dikembalikanNya Ina kepada kami setelah kedua-dua Pak Long dan Mak Long meninggal dunia. Walaupun Ina kadang-kadang masih tidak dapat terima hakikat, ibuku berusaha menjadikan dia seorang yang berguna dan berkerjaya sebagai Pendidik. Sebelum itu dia tidak mempunyai kerja tetap walaupun dia ada Diploma. Ina kemudiannya dikahwinkan dengan jejaka yang bekerja dengan Syarikat Bekalan Air Kedah.
Setelah hampir 10 tahun usia perkahwinan mereka, suaminya kembali ke Rahmatullah akibat jangkitan kuman dan kencing manis yang dialaminya. Kesedihan yang dilalui Ina telan sendiri, namun Ina seorang yang cekal dalam mengharungi hidup sendirian. Adakala dia cuba mengatasinya dengan berkunjung ke rumah adik adik dan kakaknya yang berhampiran. Genap masuk 2 tahun pemergian suaminya, tekanan perasaan Ina sudah sampai kemuncaknya. Dia menyepi diri dan tidak mahu dihubungi dan berhubung dengan semua sanak saudara terdekat, apalagi keluarga sebelah suaminya. Dia juga berpindah ke rumah lain. Ibuku pula sudah puas berusaha untuk berhubung akhirnya kami semua terpaksa redha untuk kehilangannya buat kali kedua.
 Pada Hari Raya Pertama, keluarga sebelah ibuku mengadakan jamuan dengan masing-masing membawa potluck. Ianya diadakan di rumah nenekku. Dengan perancangan teliti Mak Lang, dia berjaya membawa Ina dan anak-anaknya berjumpa ibuku.
Setelah ibuku selesai menunaikan solat Maghrib, Ina pun bersalam dengan ibu. Ibuku bagai mimpi memeluk dan mencium dia dan anak-anaknya dan kenapa selama ini menghilang diri. Insiden ini dirakam oleh adikku Nora atas pesanan Det, adik lelakiku kerana dia beraya di kampung isteri. Nampaknya ibuku dapat terima Ina seadanya, sebelum ini Det agak risau dengan sikap ibuku yang agak panas baran orangnya. Bagiku kedua-dua pihak pun ada kelemahan masing-masing. Lebih baik dilupakan semua yang telah berlalu. Namun yang aku risau ialah tekanan perasaan Ina kembali semula, kerana menurutnya dia sendiri berusaha untuk berubat dirinya. Ina juga sudi membawa kami ke rumah barunya dan dalam masa yang sama anak-anak arwah Pak Long yang selama ini kami tidak pernah bersua diketemukan oleh Ina kepada kami. Dapatlah kami saling mengenali anak beranak Baharuddin dan Roshidi. Kedua-dua Baharuddin dan Roshidi sudah pun bersara iaitu sudah melepasi usia 60 tahun, sekurang-kurangnya kami dapat mengenali mereka sebelum masing-masing menutup mata.
Begitulah kehidupan di dunia ini hanya seketika cuma. Apa lagi yang bermakna selain mengeratkan tali silaturrahim!

2 comments:

  1. Insiden ini dirakam oleh adikku Nora RALAT....
    ADIKKU iNTAN...nnt cek share naa....nak????

    ReplyDelete