Sunday, August 10, 2014

Kenangan Manis Haji

Musim Haji sudah tiba, bila melihat bakal-bakal haji di kaca televisyen, mengimbau kembali kenangan-kenangan manisku sewaktu di sana 3 tahun lalu. Anjuranku kepada sesiapa yang akan mengerjakan haji supaya keberadaan di sana terutamanya sewaktu bersembahyang jemaah di Masjidil Haram duduk di sebelah jemaahdari  negara lain. Kita akan terasa satu ikatan ukhwah yang sangat rapat walaupun kita tidak memahami bahasa pertuturan mereka.
Inilah yang selalu aku lakukan sehingga pada suatu pagi selepas selesai solat berjemaah suboh di Masjidil Haram. Aku masih duduk dengan niat untuk membaca Al Quran, tiba-tiba aku disapa seorang wanita Pakistan. Dengan bahasa isyarat wanita itu merujuk pada sepotong ayat dari surah Ibrahim yang aku sedang baca kemudian mengajak aku menghampiri seorang rakannya. Beliau memberitahu secara isyarat juga bahawa rakannya ingin mendapat zuriat lalu meminta aku membaca surah itu dan mengelilingi rakannya. Aku tidak banyak soal terus menurut sahaja dengan niat untuk membantu di tempat suci ini lagipun hanya sebuah doa. Selepas itu mereka pun mengucapkan terima kasih biasalah bahasa itik dan ayam dan aku pun beredar untuk pulang ke hotel bersarapan pagi.
Kira-kira jam 2 pagi, selesai mengerjakan umrah sunat aku dan adikku pergi semula ke Masjidil Haram. Menurut rakan-rakannya waktu-waktu begini jemaah tidaklah terlalu ramai, mungkin senang untuk mengucup Hajaratul Aswad lagipun pada masa itu ramai jemaah haji telah pulang ke negara masing-masing. Kami pun mengharungi kesesakan jemaah yang kami rasa tidaklah begitu teruk. Awal-awal aku dah mengalah dan membiarkan adikku menghampiri dinding kaabah itu bersama-sama jemaah lelaki yang lain. Dalam masa bersesak-sesak itu aku dipeluk erat-erat oleh seorang jemaah perempuan Bangladesh yang agak sama tingginya dengan aku. Wanita itu sambil menangis menyatakan sesuatu kepadaku yang aku tidak faham. Pun begitu aku hanya mengangguk tanda faham untuk mengurangkan kesedihannya. Aku rasa dia minta aku sama-sama berdoa supaya kesusahan hidupnya dapat diatasi. Agak lama juga kami berpelukan berhampiran multazam itu dan selepas itu aku terus hanyut di dalam kesesakan jemaah yang ada. Dengan izin Allah juga selepas itu aku dapat masuk ke Hijr Ismail dengan senang dan bersembahyang di bawah pancur emas.

Perjalanan kami menuju ke Madinah menaiki bas iaitu pada waktu selepas solat zuhur. Selesai tawaf wadak, setiap jemaah dipastikan ada dengan memanggil nama mereka oleh Mutawif di dalam bas. Bas yang kami naiki dipandu agak perlahan. Setelah kira-kira 2 jam perjalanan aku rasakan yang bas tiba-tiba berhenti. Pemandu bas itu mengadu dalam bahasa Arab yang ada masalah pada enjin bas. Berdasarkan beberapa jemaah yang berpengalaman, pemandu bas ini mengharapkan barakat iaitu sedekah yang berupa wang dari para jemaah. Kami pun menghulurkan wang seberapa yang ada dan pemandu itupun meneruskan perjalanan. Sampai di kawasan rehat pertama di lebuhraya itu hari pun sudah pukul 8 malam. Kami pun membeli nasi Arab yang dijual di kawasan rehat tersebut. Yang menjadi keseronakan kami, pada waktu sama, ada beberapa bas lain dari Pakistan berhenti berhampiran kami. Jemaah Pakistan ini pun menurunkan periuk  nasi yang agak besar. Aroma nasi yang dimasak sangat menggiurkan kami. Salah seorang rakan meminta sedikit dengan menghulurkan pinggan kepada mereka. Wow! sedapnya nasi mereka, masih panas dan di campur dengan beberapa bahan rempah yang tidak perlukan lauk tambahan.
Sudahlah dapat rasa nasi orang, dapat pula mengeratkan tali persaudaraan sesama Islam. Seronoknya!

Friday, August 8, 2014

Varikos Vein - TCA 1


Pencegahan Awal adalah lebih baik dari sesuatu keadaan sudah menjadi serius. Itu adalah slogan yang diwar-warkan di kebanyakan hospital dan klinik kesihatan. Itulah juga prinsip yang ku pegang. Tambahan di usia begini perlu lebih banyak berjaga-jaga. Temujanjiku di klinik Pakar Surgery pada 7 Ogos lalu ditemani suami. Aku rasa lebih selesa ditemaninya maklumlah sebelum ini sudah ditegur oleh doktor pakar ortopedik kerana berjumpanya berseorangan. Suamiku kekeringan cuti tahunan, agak sukar untuk dia menemaniku. Kebetulan dia baru menjalani pembedahan di tangan kanan(couple tunnel) dan masih dalam cuti sakit.
Yang menemuiku kali ini ialah MO India perempuan. Sambil memerhati pembedahan kaki yang sudah ku jalani, beliau menanya sejak bila aku alami varikos vein dan bila merasa sakit/ganggu dalan hidup harianku. Aku memberitahunya aku merasa lenguh dan seperti ada beban pada bahagian vein yang bersimpang-siur. (seperti dalam lakaran di atas). Beliau menyarankan untuk ku beli compression stocking dan memakainya. Aku dinasihatkan memakainya semasaku bekerja.
Seterusnya MO menjelaskan akibat dari varikos vein jika sudah serius. Pendarahan berlaku dan vein akan pecah. Untuk aku berlaku pendarahan memang ada terutama pada vein-vein yang halus. Apa yang lebih kritikal ialah terasa ada beban dan bahagian urat bersimpul terasa panas.
MO kemudian mengarahku untuk membuat temu janji dengan bahagian ultrasound. Ini bertujuan untuk dia dapat tahu keadaan perjalanan darah dalam vein samada ada tersumbat atau tidak dan juga keadaan  injap vein. Selepas temujanji dengan bahagian ultrasound aku perlu semula ke klinik untuk mendapat TCA yang baru bagi menilai hasil dari ujian dengan ultrasound. Biasanya jika perlu rawatan/pembedahan kecil ianya hanya dibuat di bahagian Pusat Rawatan Harian sahaja. Aku harap bila sudah pakai stocking tu keputusan ultrasound biarlah negative untuk melakukan apa-apa pembedahan walaupun kecil.
Antara faktu-faktur varikos vein:
1. Genetik - diwarisi dari keluarga - memang ada padaku
2. Usia - Dikesan sejak usia remaja - menjadi tidak selesa bila sudah pertengahan umur.
3. Gaya hidup - Pekerjaanku memang sebahagian besarnya perlu banyak berdiri
4. Riadah - Mungkin ini juga faktur penambah, aku memang kurang beriadah - hanya suka mengcangkul.

Bagiku faktur 1) dan 2) adalah penyebab utama. Walaubagaimanapun aku bersyukur ianya ku sedari di peringkat awal dan aku berusaha untuk mengubatinya.

TCA ultrasound - 2 Oktober dan TCA ke 2 - 16 Oktober 2014.

Sunday, August 3, 2014

Eidul Fitri Yang Penuh Makna

Hampir seminggu berlalu, Aidil Fitri tahun ini sangat bermakna dalam hidup kami sekeluarga. Sesuai dengan masanya adikku Ina yang telah sekian lama menghilang diri pada Hari Raya tahun ini tiba-tiba datang menemui kami bersama dengan 3 orang anak-anaknya.
Ina adikku yang ke 3 selepas sikembar. Malangnya dia diambil sebagai anak angkat oleh keluarga Pak Long kerana mereka tidak mempunyai zuriat perempuan. Masih tergambar di fikiranku sewaktu mereka mendukung adikku ini masuk ke dalam kereta, rasanya mahu ku rampas kembali apa daya aku anak kecil berusia 4 tahun pada masa itu. Sepanjang dia menjadi anak angkat Pak Longku kami tidak digalak berkunjung ke rumahnya walaupun Pak Long adalah abang kepada bapaku. Namun begitu Allah Maha Kuasa, dikembalikanNya Ina kepada kami setelah kedua-dua Pak Long dan Mak Long meninggal dunia. Walaupun Ina kadang-kadang masih tidak dapat terima hakikat, ibuku berusaha menjadikan dia seorang yang berguna dan berkerjaya sebagai Pendidik. Sebelum itu dia tidak mempunyai kerja tetap walaupun dia ada Diploma. Ina kemudiannya dikahwinkan dengan jejaka yang bekerja dengan Syarikat Bekalan Air Kedah.
Setelah hampir 10 tahun usia perkahwinan mereka, suaminya kembali ke Rahmatullah akibat jangkitan kuman dan kencing manis yang dialaminya. Kesedihan yang dilalui Ina telan sendiri, namun Ina seorang yang cekal dalam mengharungi hidup sendirian. Adakala dia cuba mengatasinya dengan berkunjung ke rumah adik adik dan kakaknya yang berhampiran. Genap masuk 2 tahun pemergian suaminya, tekanan perasaan Ina sudah sampai kemuncaknya. Dia menyepi diri dan tidak mahu dihubungi dan berhubung dengan semua sanak saudara terdekat, apalagi keluarga sebelah suaminya. Dia juga berpindah ke rumah lain. Ibuku pula sudah puas berusaha untuk berhubung akhirnya kami semua terpaksa redha untuk kehilangannya buat kali kedua.
 Pada Hari Raya Pertama, keluarga sebelah ibuku mengadakan jamuan dengan masing-masing membawa potluck. Ianya diadakan di rumah nenekku. Dengan perancangan teliti Mak Lang, dia berjaya membawa Ina dan anak-anaknya berjumpa ibuku.
Setelah ibuku selesai menunaikan solat Maghrib, Ina pun bersalam dengan ibu. Ibuku bagai mimpi memeluk dan mencium dia dan anak-anaknya dan kenapa selama ini menghilang diri. Insiden ini dirakam oleh adikku Nora atas pesanan Det, adik lelakiku kerana dia beraya di kampung isteri. Nampaknya ibuku dapat terima Ina seadanya, sebelum ini Det agak risau dengan sikap ibuku yang agak panas baran orangnya. Bagiku kedua-dua pihak pun ada kelemahan masing-masing. Lebih baik dilupakan semua yang telah berlalu. Namun yang aku risau ialah tekanan perasaan Ina kembali semula, kerana menurutnya dia sendiri berusaha untuk berubat dirinya. Ina juga sudi membawa kami ke rumah barunya dan dalam masa yang sama anak-anak arwah Pak Long yang selama ini kami tidak pernah bersua diketemukan oleh Ina kepada kami. Dapatlah kami saling mengenali anak beranak Baharuddin dan Roshidi. Kedua-dua Baharuddin dan Roshidi sudah pun bersara iaitu sudah melepasi usia 60 tahun, sekurang-kurangnya kami dapat mengenali mereka sebelum masing-masing menutup mata.
Begitulah kehidupan di dunia ini hanya seketika cuma. Apa lagi yang bermakna selain mengeratkan tali silaturrahim!