Semasa coretan ku ini dibuat pasar ini mungkin sudah tidak wujud bersama lenyapnya hotel-hotel di sekelilingnya. Ini kerana semasa kami hendak bertolak ke Madinah setelah selesai manasik haji, ada ura-ura kawasan-kawasan sekitar dan hotel tempat kami tinggal akan dirobohkan. Kawasan ini memang sangat dekat dengan Masjidil Haram, jadi terpaksa dikorbankan demi untuk pembesaran kawasan Masjidil Haram.
Suasana di kawasan ini sesuai dengan jiwaku kerana prasarananya tidak moden seperti di kawasan Menara Safa. Perjalanan kami berulang-alik dari masjid menjadi mudah kerana kedai-kedainya seperti di dalam kawasan pasar, jadi dapatlah kami membeli-belah dulu untuk keperluan sebelum sampai ke hotel. Mungkin sebab itu dinamakan Pasar Ghaza.
Aku merasa kenangan mengusik jiwa di mana pada suatu pagi, iaitu setelah selesai umrah bersama adikku. Adikku ingin bertahalul dengan membotakkan kepalanya. Kami pun singgah di sebuah kedai gunting rambut di salah sebuah kedai di pasar Ghaza. Aku pun duduk di atas kerusi yang ada di depan kedai tersebut sambil menikmati suasana pagi yang nyaman menghadap ke jalan raya. Seperti biasa di kawasan ini terdapat ramai orang kulit hitam yang meminta sedekah di tengah-tengah jalan raya. Sasaran mereka ialah jemaah-jemaah yang pulang dari masjid. Tiba-tiba aku nampak mereka tidak semena-mena lari bertempiaran. Secepat kilat mereka menghilangkan diri. Sungguh cekap, rupa-rupanya mereka sudah hidu bau polis Mekah yang menyusul dengan motosikal scramler dengan aksi stan bertujuan untuk menangkap mereka. Polis Mekah pun dikira sudah cepat kerana hanya membawa motosikal tidak perlu tersekat di dalam kesesakan jalan raya.
Aku rasa sudah pasti mereka ini ada gang dan mereka sentiasa berhubung antara satu sama lain demi untuk mengelakkan mereka dari ditangkap.
Insiden ini menjadi satu kenangan yang agak lucu bagiku. Aku duduk di situpun tidaklah sampai 10 minit.
Aku berfikir mungkin pembangunan Masjidil Haram dapat menghapuskan sedikit sebanyak jumlah peminta sedekah kerana mereka tidak mudah lagi untuk mencari tempat meminta sedekah dengan lenyapnya pasar Ghaza dan kawasan-kawasan sekitarnya.
No comments:
Post a Comment