Saturday, October 10, 2009

Sambungan Zaman Kanak-Kanak

Aku bukan dari keluarga yang berada, jadi aku tidak berpeluang untuk pergi makan angin ke tempat perkelahan yang lengkap dengan tempat penginapan. Pada masa itu, tempat berkelahpun tidak banyak. Kesempatan yang ada aku gunakan, walaupun aku tahu akan ke sekolah pada hari itu iaitu sesi petang. Aku dan adik-adikku sikembar itu mencuri masa dengan pergi bermandi-manda di tali air sawah padi. Kami pergi sebaik sahaja balik dari mengaji Al-Quran. Puas rasanya dapat bermain air, tambahan lagi air sedang dilepaskan ke sawah arasnya tinggi juga, tenggelam timbullah kami. Aduh seronoknya jika dikenangkan. Bila balik rumah kelam kabutlah bersiap untuk ke sekolah pula.
Sebenarnya rumah kawan ku berhampiran dengan tali air sungai itu, jadi senanglah kami nak menukar pakaian dan berehat-rehat. Rumah kawanku itu juga penuh dengan pokok-pokok bunga yahg menjadikan minat terhadap pokok bertambah lagi. Ada juga pokok ceri, aku sangat suka makan buahnya yang masak ranum, sedap. Boleh dikatakan sekeliling rumahnya adalah tanah pasir, atuknya kaut sahaja pasir dari tali air sebelah rumahnya. Agaknya apa dah jadi pada rumah itu sekarang?
Ada juga beberapa rumah kawan ibuku yang terletak di tengah sawah padi. Ibu berjualan kain baju kepada kawan-kawannya yang mana mereka membayar secara ansuran. Kutipan bulanan aku yang jalankan. Tambah lagi peluangku untuk berbasikal ke kawasan sawah padi yang memang aku senangi.
Tidak hanya itu, bayaran sewabeli kereta ibuku, aku yang lakukan di Pejabat Pos. Aku seronok dapat berbasikal pula ke kawasan perkampungan Cina untuk ke Pejabat Pos.

No comments:

Post a Comment