Sunday, October 25, 2009

Antara haiwan kesayanganku





Ayam jantan ini anak boulder, dia belum ada nama khas. Yang betina tu dibeli dari pasar Selayang, namanya Brownie, sedang bertelur. Ayam-ayam ini di istilahkan sebagai ' Free Range Chicken'.
Senior-senior depa setakat ni mati kerana sakit tua. Syukurnya tidak mati dibaham musang.

Saturday, October 24, 2009

Tahun Pertama di Sekolah Berasrama

Semasa Tok Wan saya dimasukkan ke wad akibat kecederaan di perutnya, ada seorang senior sekolah itu yang juga kebetulan dimasukkan ke wad yang sama di hospital Bkt Mertajam. Mak sedara saya yang kecik Makcik pun pergi melawat ayahnya yang mana sayapun kebetulan ada sama. Makcik ni orangnya manis dipandang dan bertahi lalat besar di bawah mulut. Perkenalan pun bermula, senior saya tu mungkin suka pada makcik saya jadi dia ambil beratlah pada saya sbbkan saya waga baru di SMSPP. Walaupun Tingkatan 5 tapi umurnya sebaya dgn saya sbb dia ada lompat tahun belajar, orang bijaklah katakan.
Selang beberapa bulan lepas tu, bapa saya pula dimasukkan ke hospital yang sama akibat demam panas. Sakit demam panas bapa tidak pulih sehingga dipindahkan pula ke Hospital Besar Pulau Pinang. Arwah bapa meninggal 40 hari berada di hospital. Saya dan emak bergilir-gilir menjaga bapa sebab bapa tidak boleh bangun lagi. Keadaannya tidak sempurna, mulut tidak dapat berkata-kata dengan jelas, matanya sebelah sudah pejam. Dalam masa yang sama Mak Jang, kakak bapa datang membawa air penawar dalam botol. Sewaktu nak beri minum botol itu pecah dengan sendiri. Keadaan penyakitnya tidak dapat diubati lagisehingga Doktor benarkan dia dibawa balik. Dalam proses untuk membawa balik bapa untuk dirawat secara tradisional, bapa menghembuskan nafasnya terakhirnya. Hari kematiannya pula adalah hari kedua dalam bulan Ramadhan. Sambutlah kami bulan Ramadhan dengan rasa sayu....

Friday, October 23, 2009

Alam Sekolah Berasrama

Dengan hati yang gembira saya mulakan pembelajaran saya di sekolah ternama di Pulau Pinang. Walaupun hati saya tidak bercita-cita untuk belajar di sekolah ini, saya rasa selesa kerana dekat dengan rumah. Hanya 2okm sahaja. Tentu tidak ada cabaran.
Rupa-rupanya banyak cabaran yg saya tempuhi selama saya di sekolah ini. Awal bulan pertama saya seronok dan dapat markah yg agak tinggi dlm ujian bulanan. Namun alam remaja saya baru bermula agaknya, saya mula rasa jatuh hati pada murid lelaki. Itupun bila murid tersebut berani mencoretkan rasa hati di bawah meja saya di kelas. Maklumlah kelas bahasa Inggeris kami terpaksa diasingkan mengikut kemahiran murid, jadi saya pergi ke kelas lain. Semasa kelas prep malam, murid-murid lelaki yg nakal akan merayau ke kelas lain dan akan mula menggosip murid perempuan. Yang mana perasan akan sukar untuk tumpu pada pelajaran. Itulah cabaran pertama saya.

Thursday, October 22, 2009

Alam Sekolah Menengah

Semasa di Tingkatan 1,2 dan 3, saya belajar di Sekolah Mengah Convent Bkt Mertajam. Saya ke sekolah menaiki basikal. Kebetulan saya seorang sahaja yg belajar sesi sebelah pagi, sikembar adik saya sesi petang mereka ke sekolah berjalan kaki. Tugasan mak kepada kami bertiga ialah sikembar tu masak lauk pauk utk makan t/hari dan malam, sementara saya membasuh kain baju keluarga. Setelah sampai saja kat rumah,saya bergegas makan t/hari yg telah disediakan kemudian terus memulakan kerja membasuh kain menggunakan tangan. Bayangkanlah membasuh kain baju adik-beradik masa tu ada enam orang, besen besarlah jawabnya. Dengan perasaan yang penuh bersemangat saya membasuh sambil mendengar radio saluran pendidikan. Tidaklah tersasar fikiran dari pelajaran.
Habis kerja saya merebahkan badan berhadapan tingkap, rumah kampunglah katakan, angin sepoi2 bahasa masuk menenangkan fikiran untuk mentelaah pelajaran. Syukur kepada Allah keputusan SRP saya agak cemerlang dan saya ditawarkan masuk ke sekolah berasrama penuh. Saya belajar di Sekolah Menengah Sains Pulau Pinang.

Saturday, October 10, 2009

Sambungan Zaman Kanak-Kanak

Aku bukan dari keluarga yang berada, jadi aku tidak berpeluang untuk pergi makan angin ke tempat perkelahan yang lengkap dengan tempat penginapan. Pada masa itu, tempat berkelahpun tidak banyak. Kesempatan yang ada aku gunakan, walaupun aku tahu akan ke sekolah pada hari itu iaitu sesi petang. Aku dan adik-adikku sikembar itu mencuri masa dengan pergi bermandi-manda di tali air sawah padi. Kami pergi sebaik sahaja balik dari mengaji Al-Quran. Puas rasanya dapat bermain air, tambahan lagi air sedang dilepaskan ke sawah arasnya tinggi juga, tenggelam timbullah kami. Aduh seronoknya jika dikenangkan. Bila balik rumah kelam kabutlah bersiap untuk ke sekolah pula.
Sebenarnya rumah kawan ku berhampiran dengan tali air sungai itu, jadi senanglah kami nak menukar pakaian dan berehat-rehat. Rumah kawanku itu juga penuh dengan pokok-pokok bunga yahg menjadikan minat terhadap pokok bertambah lagi. Ada juga pokok ceri, aku sangat suka makan buahnya yang masak ranum, sedap. Boleh dikatakan sekeliling rumahnya adalah tanah pasir, atuknya kaut sahaja pasir dari tali air sebelah rumahnya. Agaknya apa dah jadi pada rumah itu sekarang?
Ada juga beberapa rumah kawan ibuku yang terletak di tengah sawah padi. Ibu berjualan kain baju kepada kawan-kawannya yang mana mereka membayar secara ansuran. Kutipan bulanan aku yang jalankan. Tambah lagi peluangku untuk berbasikal ke kawasan sawah padi yang memang aku senangi.
Tidak hanya itu, bayaran sewabeli kereta ibuku, aku yang lakukan di Pejabat Pos. Aku seronok dapat berbasikal pula ke kawasan perkampungan Cina untuk ke Pejabat Pos.

Zaman Kanak-Kanakku

Semasa kecilku, aku tinggal di sebuah kampung di pinggir pekan Bukit Mertajam. Kampung ini bernama Kampung Paya. Keadaan kampung ini berhampiran dengan perkampungan orang-orang Cina. Sikapku yang suka berbasikal, membolehkan aku merayau-rayau dengan alasan nak pergi rumah kawan. Kebetulan ada di antara kawan-kawanku itu tinggal agak terpencil di celah kebun sayur perkampungan orang Cina. Rumah kawanku tu tidaklah lama sangat aku duduk, yang lamanya di pertengahan jalan. Aku singgah di kebun tu dan meneliti pokok sayur yang hidup subur. Dari situ minatku trhadap tanaman pokok-pokok mula berputik sehingga sekarang.
Suasana di kampungku ini amat indah. Ada juga kawasan sawah padi. Aku juga selalu berbasikal sampai ke kawasan sawah padi. Kadang-kala aku membawa adik lelakiku yang ketika itu baru setahun jagung. Aku letak di dalam raga yang berada di depan basikal dan dengan megahnya berbasikal menyusuri kawasan di kelilingi sawah padi. Oh seronoknya dia tidak terkata. Ibuku tidak tahu, dia sibuk mencari rezeki. Percaya juga ibuku pada Kaklong ini.
Kalau jadi apa-apa kat adikku itu tak nak aku fikirpun, walaupun adiiku tu anak lelaki tunggal.
Ada satu ketika selepas tolong mak masak aku, adik-adik aku sikembar tu pula bersama-sama rakan-rakan sekampung membawa bekal nasi ke tepi sawah di bawah pepohon kelapa. Kami duduk berlepak di kawasan teduh dan menikmati masakan tengahari. Bertambah enak rasanya nasi dan lauk-pauk tambahan pula di tiup angin sepoi-sepoi bahasa. Oh Tuhan sahaja yang tahu, nikmat seperti itu tidak akanku kecapi lagi.

Asal-usulku

Aku di lahirkan di Bukit Mertajam. Anak jati Pulau Pinang. Keluarga ibuku berasal dari Perak. Mereka berhijrah ke Bukit Mertajam semasa Perang Dunia Kedua berakhir. Manakala bapaku pula asalnya aku kurang pasti. Kononnya Datuk sebelah ayahku berasal dari keturunan India yang membawa rempah ratus dan mendarat di Pulau Pinang. Ini berdasarkan kepada fakta beberapa tahun lalu aku pernah menandatangani satu surat serah hakmilik tanah yang asal-usul nama pemilik itu adalah Dawood. Nama macam orang India Muslimkan?
Inilah nasib kalau dah bapa meninggal dunia dulu sebelum Tok ayah. Ikut Faraid harta pusaka nenek sedara lain pun hak miliknya sampai ke tangan kami. Entahlah aku daif dalam hal-hal ini. Bapaku meninggal dunia dua bulan lebih awal dari Tok ayahku. Dalam usianya 44 tahun.