Saturday, September 25, 2010
Tuesday, September 21, 2010
Peringkat Akhir Ramadan 1431/Ogos 2010
Peingkat akhir Ramadan ini jugalah bos di tempat kerjaku sibuk nak buat internal audit pula. Setelah lama dilewat-lewatkan barulah terhegeh-hegeh dia nak melakukannya. Aku pun tidak faham dengan manusia sepertinya ini. Apa alasan yang dilambat-lambatkannya pun satu persoalan juga, sehingga dalam masa ini lah nak dibuat ISO audit dan bahagian MRP pula nak melakukan stock take. Kalau difikir-fikirkan kerja di sini memang tidak ada sistem, yang ada semua gara-gara pihak pengurusan atas nak menutup kelemahan perancangan mereka. Pada hakikatnya ada kakitangan/pekerja yang menjadi mangsa keadaan terpaksa meletak jawatan dalam keadaan terpaksa. Mungkin ada hikmah di sebalik semua ini, kita kenalah berfikiran posoitif selagi ingin mencari makan di sini. Setiap yang susah mesti ada kesenangan dan kerja merupakan ibadah terutama jika banyak kerja di bulan puasa banyaklah pahala yang kita dapat yang penting ikhlas keranaNya, Amin!
Sepanjang ku berterawih di masjid pada malam 23 ku rasakan begitu sayu entah kenapa tidak semena-mena air mataku mengalir tanpa dapat dikawal. Surah yang dibaca Imam mengenai minta dijauhi dari api neraka juga mengusik jiwaku yang juga merupakan sebab-musabab tangisanku itu. Itulah satu-satunya malam yang begitu sayu bagiku. Malam-malam berikutnya adalah malam biasa bagiku walaupun tazkirah yang disampaikan oleh sesetengah Ustaz menarik minatku.
Pertengahan Ramadan 1431/Ogos 2010
Baju raya untuk anakku kemeja dan seluar telah ku beli 2 minggu sebelum Ramadan. Tidaklah terasa kelam kabut untuk membeli-belah di bulan puasa. Niatku di bulan Ramadan ini untuk memperbanyakkan doa tetapi nampaknya aku tidak dapat menepati apa yang ku niatkan. Mudah-mudahan niatku juga dapat menambahkan pahala buatku kerana ada ulama menyebut yang umat Nabi Muhammad banyak pahala diberi melalui apa yang mereka niat walaupun tidak sempat dilakukan. Tambahan pula jangkahayat mereka lebih pendek berbanding dengan umat Nabi-Nabi terdahulu. WallahuAlam!
Dari segi persiapan rumah tidak lansung aku pedulikan hanya menjaga supaya semak-samun disekeliling rumah tidak terlalu tinggi. Yang aku seronok lakukan di bulan puasa pergi ke bazar Ramadan pada hujung minggu bersama anak bujangku. Kami suka pergi ke bazar Selayang Baru, ada jual jus buah-buahan yang baik untuk kesihatan.
Azamku cuba kukuatkan dengan memulakan terawih sendirian selepas cutiku. Menjelang malam ke 23 mulalah aku keluar bersama anakku menuju masjid untuk berterawih.
Antara Peristiwa Awal Ramadan 2010
Ramadan 2010 ini ku tunggu bagai menunggu bulan jatuh ke riba. Sementahan pula ibu yang telah 6 minggu berada di Manchester berangkat pulang ke Malaysia. Hati gembira melihat kepulangannya yang bermalam di Shah Alam iaitu 3 hari sebelum 1 Ramadan. Ibuku seorang yang kuat semangat, tidak beliau mengeluh keletihan walaupun melalui perjalanan beribu-ribu kilometer dan selang beberapa hari terpaksa menjalani ibadah puasa. Aku, suami dan anak pun bertekad untuk pulang ke P.Pinang untuk bersama-sama beliau menjalani ibadah puasa. Dapatlah kami menghulurka telinga untuk mendengar pengalamannya semasa berada di UK.
Permulaan Ramadan untukku agak lembap sedikit dari segi hendak melakukan ibadah sunat seperti berterawih dan membaca Al-Quran. Sungguhpun begitu pekerjaan harianku terasa lebih tenang tanpa melalui banyak cabaran. Mungkin juga cabaran-cabaran yang ada itu di hadapi dengan tabah tanpa ada perasaan keluh kesah. Dalam 10 hari aku berpuasa, lumrah perempuan bercutilah pula aku untuk 6 hari. Kesian pula pada anak bujang yang hujung minggu bermalam di rumah pada minggu itu bersahur sendirian kebetukan bapanya pula syif malam. Aku hanya gagahkan diri sediakan makanan dan temankan dia makan.
Subscribe to:
Posts (Atom)