Tidak banyak yang boleh diketahui dari lawatan ke makam 4 sahabat Nabi, hanya dengan meneliti sendiri apa yang terdapat di sekeliling ahaja. Walaupun ada pengawal-pengawal yang menjaga sekeliling masjid itu, namun aksi mereka yang tidak mempamirkan sikap sebenar sebagai orang Muslim(seperti sikap pemalas dan hanya mahu wang tips sahaja) telah membuatkan kami tidak banyak bertanya. Keadaan bilik air muslimah pun tidak terjaga dengan longkang tersumbat, bekalan air pun tiada. Nasib baik ada sedikit air yang kami sengaja isi dalam botol. Dapatlah diguna untuk air sembahyang.
Makam sahabat-sahabat Nabi yang dimaksudkan ialah Jaafar bin Abi Thalib, Zaid bin Harithah, Abdullah bin Rawaha dan Abu Ubaidillah bin Al Jarrah. Aku masih teringat satu rancangan disiarkan oleh tv Arab Saudi mengenai mereka. Sangat bersemangat pengulas Arab tersebut menceritakan mengenai sejarah dan peperangan yang berlaku menyebabkan terkorbannya mereka sebagai Assyahid.
Mungkin juga sebab masjid ini sedang menjalani pengubahsuai, penyelenggaraan terutamanya di dalam bilik air telah diabaikan.
Kami menuju ke kawasan yang dinamakan Mu'tah, di sinilah terdapatnya sebuah lagi Universiti yang mana terdapat ramai pelajar Malaysia. Hanya sempat mengambil pintu gerbang universiti dan kawasan sekitarnya. Sangat luas kawasan Universiti ini persis sebuah bandar.
Selepas itu Jibril terus membawa kami menuju ke Laut Mati, malangnya pemandangan pada masa itu tidak begitu jelas, kerana waktu kami berada di situ keadaan sangat panas dana berdebu. Suamiku menjadi sesak nafas dan kami tidak boleh berada lama di situ. Walaupun begitu sempat juga kami membeli-belah produk laut mati di shopping mall berhampiran. Anakku juga sempat menaiki unta yang dikendalikan oleh penduduk setempat di tepi Laut Mati tersebut.